BeritaNasional

Pelbagai projek pembangunan dilaksana MAIPs – Raja Muda Perlis

Beberapa projek “Mercu Tanda Gemilang MAIPs” sedang dilaksanakan pada ketika ini. Antaranya ialah mewujudkan “Bangunan Wakaf MAIPs Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar yang bakal disempurnakan penyerahannya dalam masa terdekat ini.

Bangunan berkenaan dijadualkan bakal disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang Ke-77 dan juga ‘2 Dekad Pemerintahan Baginda’ pada suku ke tiga tahun ini.

Selain itu, MAIPs juga telah selesai menyiapkan ‘Dataran MAIPs’ yang terletak berhadapan dengan tanda ‘Zero Kilometre’ serta CIMB Bank di pusat bandar Kangar untuk dimanfaatkan oleh golongan asnaf dalam bidang perniagaan. Buat masa ini, proses untuk membuka ‘Request For Proposal (RFP)’ kepada pihak-pihak yang berhasrat menguruskan tapak berkenaan sedang dalam tindakan pihak Pengurusan MAIPs.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 4 bagi tahun 2020 yang bermula dan berakhir di Masjid Jabal Al A’la, Kaki Bukit, Padang Besar pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Panglima 30 Briged Infantri Malaysia Brig-Jen Hassan Embong beserta kerua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut melahirkan rasa sukacita atas kejayaan pihak majlis menerbitkan sebuah buku berjudul “Salasilah Perlis: Asal Usul Pemerintahan Jamalullail” yang dihasilkan oleh Dr. Haji Hazman Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bersama Mohd Kasturi Abd Aziz dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang telah mengangkat nama MAIPs di persada antarabangsa melalui penyempurnaan pelancaran buku berkenaan di Frankfurt, Jerman pada 17 Okotober 2019 yang lalu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berbangga di atas inisiatif MAIPs dalam mengembalikan kegemilangan Adat Istiadat Melayu di Negeri Perlis antaranya adalah dengan terlancarnya “Tengkolok Putra Julang Darjat”. Pelancaran tengkolok rasmi Perlis ini bakal menjadi asas ke arah mercu tanda MAIPs dalam Adat Istiadat Melayu di negeri ini selain memperteguhkan jatidiri.

Selain menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada seramai 303 asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Kampung Melayu, Wang Kelian, Tasoh, Titi Tinggi, Felcra Lubuk Sireh dan juga Kampung Cantik, baginda berdua turut berkenan melancarkan ‘Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs berupa perniagaan ‘Cendol Warisan’ yang diusahakan sejak 4 tahun lalu oleh Faisal Hamdi Abdullah, 40 Tahun (No Tel: 0123506929) yang beralamat di A111 Lorong BD 6, Kampung Beseri Dalam, Beseri, Perlis. Beliau pernah menerima bantuan modal peralatan berupa sebuah mesin cendol bernilai RM3,800 daripada MAIPs pada bulan Ogos 2018.

Turut diadakan sebelum itu ialah tayangan video kesihatan dan juga pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh para pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ke atas semua yang hadir.

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button