fbpx
Politik

Anwar cuba selamatkan diri – Annuar

PENGUMUMAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan didakwa sebagai helah untuk menyelamatkan diri daripada dipenjara semula.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Anwar itu selepas gagal membatalkan saman pemula peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh terhadapnya, yang dipenjara atas kesalahan meliwat.

“Setelah gagal menghalang usaha mencabar kesahihan Pengampunan Diraja di mahkamah, beliau ternyata desperate cuba merampas kuasa sebagai jalan terakhir utk mengelak sesuatu yg paling tidak di ingininya,” ciap Annuar di Twitter.

Isnin lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula peguam, Mohd Khairul Azam Abdul

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu, selepas mendapati Mohd Khairul Azam selaku plaintif mempunyai ‘locus standi’ atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman berkenaan.


Saman pemula difailkan pada 26 Februari lalu, Khairul Azam berkata, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbar pada 11 Mei 2018, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 15 Mei 2018 Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V telah menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

Anwar sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun 2018 tetapi keputusan pilihan raya umum minggu lepas yang menyaksikan kemenangan partinya PKR yang bergabung bersama Pakatan Harapan, mengubah segala-galanya.

Beliau sebelum ini dipenjarakan setelah disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar menafikan tuduhan itu dan menyifatkan beliau menjadi mangsa pertuduhan dan konspirasi politik.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button