Mahkamah

Mengaku terima rasuah, penolong pegawai tadbir DBKL didenda RM18,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman denda RM18,000 atau 15 bulan penjara ke atas seorang penolong pegawai tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menerima wang berjumlah RM2,700 daripada dua pemilik syarikat kontraktor pembersihan.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Helfien Nordin, 45, selepas dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah daripada dua pemilik syarikat kontraktor pembersihan, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di Maybank Cawangan Medan Tuanku, Jalan Medan Tuanku 1 di sini, antara Januari 2014 hingga Jun 2017.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa empat anak itu didenda RM3,000 bagi setiap kesalahan atau dua bulan penjara, jika gagal membayar denda tersebut manakala bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia didenda RM3,000 bagi setiap kesalahan atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Rozina menasihati tertuduh agar menjadi contoh yang baik kepada empat anaknya dan bukan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.
“Mahkamah memberi peluang terakhir kepada kamu untuk benar-benar berubah. Walaupun kamu mengaku bersalah, ia amat mendukacitakan kerana ia (rasuah) dilakukan oleh seorang penjawat awam. Kamu berada di lokap selama 26 hari dan mahkamah berharap ia akan menjadi pengajaran kepada kamu,” kata hakim itu.
Tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh kemudian menjawab “Saya faham”.
Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, Mohamed Helfien seorang Penolong Pegawai Tadbir (N29), Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti yang bertugas sebagai Pengurus Perumahan Zon 2 DBKL, didakwa menerima untuk dirinya wang berkenaan yang dimasukkan dalam akaun Maybank miliknya daripada pemilik syarikat kontraktor pembersihan perumahan dan rumah sampah di DBKL yang ada hubungan dengan kerja rasmi tertuduh sebagai Pengurus Perumahan Zon 2.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Helfien yang dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini mengaku tidak bersalah atas 120 pertuduhan menerima wang berjumlah RM82,700 daripada lima pemilik syarikat kontraktor pembersihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding Isnin, mahkamah mempertimbangkan 28 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas tertuduh mengaku bersalah atas enam pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan.
Peguam C Rajsurian Pillai mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab.
Sementara itu, Fadhli ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata 86 lagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini ditetapkan untuk sebutan pada 19 Jan ini.
— BERNAMA
(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button