
Anwar Ayah Kepada Semua, Bukan Sekadar Bapa Saya”-Nurul Izzah
TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu dilantik, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya bapa kandungnya, tetapi juga dianggap sebagai “ayah” kepada semua ahli parti termasuk Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli.
Menerusi ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini, Nurul Izzah berkata hubungan kekeluargaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membezakannya dengan mana-mana ahli lain dalam parti.
“Saya hadir kongres hari ini dengan perasaan bercampur-baur… seolah-olah ditelan mati emak, diluah mati bapa. Anwar bukan ayah saya seorang, tetapi ayah kepada Rafizi dan kita semua yang menyertai PKR kerana perjuangan dan idealisme parti ini,” katanya.
Nurul Izzah turut mengakui bahawa mungkin ada segelintir yang menyertai PKR kerana melihat peluang untuk berkuasa, namun majoritinya menyertai ketika parti masih tidak mempunyai apa-apa, atas dasar kasih dan hormat terhadap Anwar.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengingatkan barisan kepimpinan baharu agar tidak meminggirkan mana-mana ahli yang tidak menyokong mereka dalam pemilihan lalu.
“Jangan bila menang, kita lupakan mereka yang tidak sokong. Sebaliknya libatkan semua, termasuk cabang dan ranting. Tanpa mereka, PKR mungkin kehilangan satu pertiga undi dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Ucapan Nurul Izzah dilihat sebagai mesej perpaduan dan amaran awal kepada kepimpinan parti agar mendukung semangat inklusif demi kekuatan PKR secara keseluruhan menjelang PRU akan datang.