
Anugerah PSM Untuk Ayob Khan, Netizen Spekulasi Pelapis Ketua Polis Negara
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri”, sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 3 Jun 2025.
Kebiasaannya, anugerah berprestij ini hanya diberikan kepada Ketua Polis Negara sebagai pegawai paling kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, penganugerahan kepada Ayob Khan yang masih memegang jawatan timbalan, mencetuskan spekulasi hangat mengenai arah tuju kepimpinan tertinggi pasukan itu – terutama menjelang persaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pada 22 Jun ini.
Dikenali dengan sikap tegas, berintegriti dan berani, Ayob Khan pernah mengetuai Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan berjaya menggagalkan pelbagai ancaman militan termasuk ISIS dan Abu Sayyaf.
Beliau turut mencuri perhatian ramai ketika memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor pada tahun 2020, apabila bertindak tegas membanteras sindiket jenayah dan pengedaran dadah. Selepas itu, beliau diberi kepercayaan menerajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023.
Mengulas mengenai penganugerahan ini, Ayob Khan menyifatkannya sebagai penghargaan besar bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk seluruh warga PDRM. Beliau juga berikrar untuk terus menunaikan amanah dengan penuh komitmen demi keselamatan dan kesejahteraan negara.