
Anthony Loke Dedah Punca: Bas Lama, Tiada Ciri Keselamatan Lengkap
BAS persiaran yang terbabit dalam kemalangan tragis melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Jeli minggu lalu disahkan tidak dilengkapi tali pinggang keledar bagi penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa bas berkenaan dibina pada tahun 2013, iaitu tujuh tahun sebelum peraturan pemasangan tali pinggang keledar diwajibkan bagi semua bas ekspres penumpang bermula 2020.
“Bas itu tidak mempunyai tali pinggang keledar kerana ketika ia dikeluarkan pada tahun 2013, ia belum menjadi satu keperluan wajib,” katanya dalam satu sidang media.
Menurut beliau, peraturan baru yang berkuat kuasa sejak tahun 2020 mewajibkan semua bas baharu dipasang dengan tali pinggang keledar di setiap tempat duduk sebagai langkah keselamatan. Namun, terdapat banyak bas lama yang masih beroperasi tanpa mematuhi ciri keselamatan penting itu.
Teknologi Keselamatan Bakal Ditingkat
Mengambil serius insiden ini, Kementerian Pengangkutan kini sedang meneliti pelaksanaan sistem teknologi keselamatan tambahan termasuk pemasangan kamera pemantauan serta pengehad kelajuan (speed limiter) ke atas semua bas dan lori berat.
“Namun, kita dapati ada pengusaha yang mengubah suai pengehad kelajuan selepas pemeriksaan di Puspakom bagi membolehkan kenderaan mereka bergerak lebih laju. Ini amat membimbangkan,” ujar Anthony Loke.
Sehubungan itu, kementerian bercadang untuk memperkenalkan peraturan baharu dan penguatkuasaan lebih ketat bagi mengelakkan manipulasi terhadap peranti keselamatan kenderaan.
Penguatkuasaan Perlu Diperketat
Pihak kementerian turut menyeru agar semua pengendali syarikat pengangkutan awam dan pelancongan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menambah baik aspek keselamatan, termasuk memastikan semua kenderaan lama dipantau secara berkala dan mematuhi standard keselamatan semasa.
Tragedi yang mengorbankan beberapa nyawa ini seharusnya menjadi titik tolak kepada reformasi menyeluruh dalam sistem keselamatan pengangkutan awam negara.