Nasional

Kad Diskaun Khas bagi pengusaha Menu RAHMAH

PENAWARAN Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH merupakan program rintis bersama di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, pihak KPDN menghargai komitmen enam pasar raya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu pasar raya AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

“Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasar raya-pasar raya ini akan menawarkan kadar diskaun sehingga 40 peratus terhadap 5,000 stock keeping unit (SKU); tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pasar raya.

Permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini telah dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Di  antara syarat- syarat permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini adalah seperti berikut:
I. Warganegara Malaysia
II. Telah berdaftar sebagai pengusaha Menu RAHMAH di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
III. Perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, para pengusaha Menu RAHMAH boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected].

Armizan juga berkata, bermula hari ini, permohonan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH dibuka khusus kepada pengusaha-pengusaha Menu RAHMAH di seluruh negara.

“Menu RAHMAH merupakan salah satu program utama di bawah Inisiatif Payung RAHMAH untuk menangani isu kos sara hidup dengan menyediakan menu makanan tengah hari atau malam yang sihat dan selamat dengan harga tidak melebihi RM 5.00 bagi setiap hidangan.

“Dengan kadar harga menu yang berpatutan ini, Program Menu RAHMAH yang mula dilaksanakan sejak 31 Januari lalu disasarkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini di seluruh negara,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini, terdapat 2,849 premis berdaftar yang menawarkan Menu RAHMAH kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.

“Sejajar dengan hasrat untuk memberikan insentif penghargaan kepada para pengusaha Menu RAHMAH, KPDN merintis usaha untuk memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH,” katanya.

Armizan dalam kenyataan yang sama berkata, pada masa yang sama, inisiatif ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan Program Menu RAHMAH sebagai galakan untuk meningkatkan lagi bilangan pengusaha restoran dalam menyertai Program Menu RAHMAH.

“Kementerian komited dalam memperluaskan dan menjayakan lagi Program Menu RAHMAH bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan diluar dengan harga yang berpatutan,” katanya. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button