Ekonomi

Pendapatan Insurans Allianz Malaysia meningkat kepada RM2.33 bilion

Kumpulan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) telah mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua (Q2) untuk tahun kewangan 2023.

Kumpulan telah merekodkan pendapatan insurans Q2 pada RM1.16 bilion, yang menjadikan jumlah keseluruhan perniagaan bagi enam bulan pertama tahun ini kepada RM2.33 bilion.

Keputusan ini merupakan peningkatan 8.4% atau RM180.2 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Allianz Malaysia juga telah mencatatkan peningkatan 4.5% untuk Premium Bertulis Kasar (GWP) berbanding tahun lepas yang berjumlah RM3.22 bilion, sementara Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat 12.9% kepada RM38.8 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata. “Keputusan untuk Q2 menunjukkan momentum yang berterusan dari suku pertama seperti yang dirancang. Walaupun kami masih terikat dengan faktor makroekonomi seperti pertumbuhan KDNK dan situasi lain yang tidak dijangka, saya yakin kami boleh mengekalkan trajektori untuk tahun ini.

“Keyakinan ini datang dari kebolehan kami dalam menangani cabaran ketika pandemik. Cara ini telah membolehkan kami untuk membina sebuah model perniagaan dan operasi yang teguh, berdaya tahan semasa tempoh tersebut menyerlahkan kami daripada keseluruhan pasaran.”

Keuntungan Sebelum Cukai Allianz General meningkat 17.9% kepada RM263.8 juta Anak syarikat insurans am Allianz Malaysia; Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) mencatatkan pendapatan insurans RM665.9 juta, peningkatan 6.7% atau RM41.8 juta berbanding tempoh Q2 yang sama pada tahun lepas.

Keputusan ini adalah hasil peningkatan Premium Diperoleh Kasar dari perniagaan motor. Sehingga kini, pendapatan insurans juga melebihi tahun sebelumnya sebanyak 7.4% dengan RM1.33 bilion tahun ini berbanding RM1.24 bilion yang dicatatkan pada Q2 tahun lepas.

Keuntungan Sebelum Cukai juga meningkat 17.9% kepada RM263.8 juta sehingga kini berbanding tempoh yang sama tahun lalu sementara Nisbah Gabungan kekal sejajar dengan tahun lepas pada 85.4%.

“Kami telah meningkatkan usaha kami untuk Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), terutamanya dalam komponen sosial. Kerjasama Allianz dengan Olimpik dan Paralimpik dikenali di seluruh dunia, tetapi saya bangga untuk mengatakan bahawa diperingkat kebangsaan, kami kini berkerjasama dengan para-atlet Malaysia melalui Program MoveForward Allianz dan kami komited untuk terus menyokong sehingga Paralimpik Paris 2024.”

Sean juga menyatakan usaha berterusan Allianz Malaysia untuk menjaga golongan rentan. “Rangkaian produk insurans yang mampu milik kami termasuk Allianz Motorcycle Plus untuk motosikal dan PerlindunganKu Allianz4All untuk perlindungan kemalangan peribadi, dan kami akan terus menghasilkan produk seumpamanya.

“Untuk PerlindunganKu Allianz4All, kami telah mencapai lebihan pertama pada bulan Julai dan telah mengagihkan dana tersebut kepada tujuh pertubuhan kebajikan. Dana tersebut telah disalurkan untuk aktiviti yang menyokong Pendidikan, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan Usaha Bantuan,” katanya. – SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button