Rencana

Annuar Musa pun malu dan mahu jumpa Ebit Liew

Bila saya bertanya bagaimana kepada orang politik bagaimana hendak membantu wartawan yang terlantar sakit dan yang kehilangan pekerjaan, mereka bertanya kembali di kawasan mana?

Bila saya bertanyakan bagaimana mahu mendapatkan bantuan kerajaan bagi pekerja yang direhatkan tanpa gaji kerana masalah kewangan kritikal syarikat, soalan yang sama diajukan kepada saya.

Baru saya sedar, orang politik tidak ubah seperti kucing yang hanya menjaga wilayahnya sahaja.

Sebab itu seekor kucing akan meronda wilayah kawalannya dan akan memancutkan kencing sebagai tanda.

Mana-mana kucing yang memasuki wilayahnya perlu tunduk kepada kekuasaannya jika tidak akan diserang.

Begitulah orang politik mereka meletakkan banyak syarat untuk membantu. Belum lagi ditanya ahli parti apa dan diselidik pula condongnya ke arah mana jika di dalam satu parti.

Sebab itu orang politik walaupun sebesar mana kuasanya tidak akan dapat membantu masyarakat sampai akhir hayat jika terus terbelenggu dalam kepompong politik yang sempit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui bahawa wakil rakyat perlu ada rasa malu dan menghargai mereka yang tidak mempunyai ‘kuasa’ tetapi dapat membantu orang lain.

Mengambil contoh pendakwah terkenal, Ebit Lew, beliau berkata berasa malu kerana sebagai wakil rakyat, beliau tidak dapat berbuat banyak berbanding pendakwah terkenal berkenaan.

“Dia (Ebit) bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi Semporna, Tawau dan pergi ke Kelantan dan jangan pula sampai ke kawasan (Parlimen) Ketereh nanti dia tengok apa benda yang saya tidak terbuat bagi rakyat saya.

“Saya bimbang. Jadi terus terang saya beritahu kepada pegawai saya, kalau boleh antara orang figura yang saya hendak jumpa ialah Ebit Lew.

“Hendak kongsi dengan dia, benda yang mungkin (atau) ada perkara yang boleh saya belajar daripada dia dan sebagainya dan kita (wakil rakyat) harus ada perasaan malu,” katanya ketika menjawab pertanyaan Shahril Sarapudin selaku moderator pada program Bicara Minda di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh berkata, sifat malu itu bagaimanapun perlu diambil dari sudut positif bukan negatif.

“Malu kerana ada orang yang tidak ada kuasa macam kita (wakil rakyat tetapi) dia sanggup berbuat lebih, namun bagaimana pula bagi kita yang ada kuasa tetapi kita tidak berbuat cukup,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tanggungjawab kerajaan tidak sama dengan NGO kerana kerajaan perlu memberi tumpuan dalam merangka dasar, agenda dan program yang baik khususnya untuk jangka masa panjang.

“Merangka dasar-dasar yang baik, mengadakan agenda-agenda dan program-program yang mungkin rakyat tidak nampak yang hasilnya pada jangka lebih panjang.

“Bagi yang mempunyai masalah itu kita (akan) turun (padang) dan selesaikan, itu juga penting tetapi sebagai kerajaan tentunya kita perlu berfikir jauh daripada itu.

“Kalau tidak nampak turun bukan bermakna tidak berfungsi tetapi lebih baik kalau kita, sementara kita menguruskan kerajaan dari segi pelaksanaan yang baik, kita juga terus menjadi sebuah kerajaan prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat,” katanya.

Kita harus berbangga kerana di negara ini masih ada pemimpin seperti Annuar yang berjiwa besar dan jelas pemikirannya tidak berserabut dengan polemik politik yang berselirat dan tidak menentu.

Pasti ramai yang mahu jadi seperti Ebit Liew, tetapi mereka tidak mampu. Jadi kalau kita tidak mampu jangan kita mengeji.

Jadilah seperti Annuar Musa yang sanggup belajar dengan Ebit Liew.

(Visited 646 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button