Nasional

Annuar Musa pertahan kerajaan mampu tangani inflasi

Kerajaan akan cuba sedaya upaya menangani impak inflasi global dan mempertahankan negara untuk terus
kekal sebagai sebuah negara yang dapat mengawal situasi tersebut dengan kadar yang rendah.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, inflasi tidak boleh dihapuskan sebaliknya ia boleh dikawal berdasarkan komitmen dan dasar kerajaan yang bersungguh-sungguh mengawal kenaikan harga barang melalui pemberian subsidi kepada beberapa barangan tertentu.

Bercakap dalam rancangan Bicara Naratif di TV1 dengan topik Tangani Inflasi Perkukuh Ekonomi malam tadi, beliau begitu optimistik kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkeupayaan mengawal situasi tersebut.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kebanyakan negara di dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengalami fenomena inflasi yang sangat tinggi mencecah antara lapan
hingga sembilan peratus.

Menurutnya, kadar inflasi di negara ini masih dianggap agak rendah dengan kadar lapan peratus berbanding Thailand (7 peratus) dan Filipina (5 hingga 6 peratus).


“Inflasi yang berlaku di negara kita bukan disebabkan faktor domestik semata-mata tetapi didorong atas beberapa faktor-faktor yang berlaku di peringkat global.

“Malaysia tidak terkecuali terkena tempias akibat fenomena inflasi di peringkat global namun kita masih bertahan kerana usaha kerajaan melaksanakan pelbagai langkah dan tindakan bagi mengimbanginya.

“Saya kata bukan kita tidak ada masalah, saya tak kata harga barang tak naik, saya tidak kata ada sebahagian rakyat tak mengalami tekanan akibat kos sara hidup yang tinggi tapi yang penting kita terus berikhtiar untuk mengawal keadaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut Annuar berkata, walaupun berlaku inflasi kerajaan masih mampu mempertahankan tidak ada sebarang kenaikan tarif elektrik dan air kerana kerajaan telah membuat satu ketetapan sebarang kenaikan keperluan asas dan utiliti rakyat tidak akan dilakukan.

Menurutnya, cerita palsu tidak sewajarnya dilontarkan kepada orang ramai yang digambarkan kerajaan telah menarik balik subsidi minyak masak paket dan ada yang turut melabelkan kerajaan tidak prihatin terhadap kenaikan harga barangan hingga menyusahkan rakyat.

“Kita boleh tengok di sekeliling negara lain, adakah kita membayar elektrik lebih tinggi berbanding negara lain, adakah kos pengangkutan lebih tinggi daripada negara lain, adakah harga minyak lebih tinggi dari negara lain, harga minyak masak lebih tinggi begitu juga harga beras harga gandum, gula
dan sebagainya,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan sehingga sekarang begitu prihatin apabila menyentuh soal kebajikan rakyat terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Sehubungan itu katanya, rakyat masih menikmati rumah percuma, tarif air yang sangat murah, bekalan elektrik, pendidikan diberikan secara percuma dan sebagainya.

Justeru katanya, usaha kerajaan mewujudkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah bagi membantu Keluarga Malaysia mendepani cabaran berikutan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan mengambil sikap sangat tetas dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dan kepentingan rakyat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah. -SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button