Nasional

Polis tahan lelaki halang tugas penjawat awam

POLIS menahan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat, memaki hamun dan menghalang tugas penjawat awam yang ketika itu sedang menjalankan Ops COVID-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hadapan sebuah bank di Bagan Datuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penganggur berumur 38 tahun itu ditahan selepas dia enggan bekerjasama dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada pukul 8.30 malam.

“Suspek ketika ditahan berada dalam keadaan mabuk dan telah melanggar PKP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Omar Bkhtiar berkata, seorang wanita yang dikatakan melarikan diri dari bilik isolasi Hospital Parit Buntar (HPB) Isnin lepas, telah menyerah diri kepada HPB petang semalam.

BERITA BERKAITAN:

Menurutnya, siasatan polis mendapati wanita berusia 21 tahun yang mendakwa dirinya mempunyai simptom jangkitan COVID-19 itu tidak mahu ditahan di HPB dan bertindak melarikan diri dengan seorang rakan lelakinya.

“Polis telah menghubungi lelaki yang membawa wanita itu pulang dan lelaki berkenaan telah menyerahkan wanita itu kepada HPB pada pukul 3.45 petang semalam,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, hasil soal siasat, wanita berkenaan mendakwa bersembunyi di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Semalam, maklumat mengenai laporan polis oleh seorang doktor di HPB berhubung seorang wanita yang mendakwa mempunyai simptom COVID-19 melarikan diri dari bilik isolasi di hospital berkenaan menjadi tular di laman sosial Facebook.

Omar Bakhtiar berkata wanita itu didapati tidak pernah bekerja sebagai pramugari sebagaimana yang tular dalam sosial media, namun pernah mengikuti kursus pramugari selama sebulan di sebuah kolej di Sungai Besi, Kuala Lumpur. – BERNAMA

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button