Politik

Anwar umum sokongan untuk elak Agong bubar Parlimen – Khalid

PENGUMUMAN Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan adalah bagi mengelakkan Yang di-pertuan Agong daripada membubarkan Parlimen.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, perkara itu diberitahu oleh Anwar dalam mesyuarat khas Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dihadirinya baru-baru ini.

Jelas beliau, Anwar khuatir sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin apabila mengetahui sudah tidak mendapat sokongan majoriti akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Dan kalau tidak dijelaskan bahawa memang sudah ada pihak lain yang ada majoriti maka ada kemungkinan Yang di-Pertuan Agong akan bubarkannya.

“Maknanya ianya merupakan satu tindakan untuk elak daripada berlakunya pembubaran Parlimen. Untuk beritahu kepada Agong kalau Muhyiddin letak jawatan maka ada pengganti yang sudah ada majoriti.

“Dan kalau Muhyiddin minta Parlimen dibubarkan maka Yang Dipertuan Agong pun dah tahu bahawa sudah ada pihak yang sudah ada majoriti juga, jadi tidak perlu dibubarkan (Parlimen),” kata Khalid dalam satu temubual yang secara langsung di Facebooknya malam tadi.

Dalam temubual itu Khalid menafikan pengumuman Anwar itu ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah yang sedang berlangsung ketika itu.

“Tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri Sabah tetapi memang kita cuba memanfaatkannya.

“Seperti yang saya sebutkan tadi hujah yang utama yang dikemukakan oleh Gabungan Rakyat Sabah ialah bahawa kita perlukan satu kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan persekutuan, maka kalau sudah kerajaan persekutuan jatuh maka apa sebab kita nak undi kepada GRS,” kata Khalid.

Pada 23 September lalu di tengah-tengah PRN Sabah sedang berlangsung Anwar mengumumkan telah mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun majlis menghadap itu terpaksa ditangguhkan kerana Al-Sultan Abdullah dirawat di hospital.

Semalam Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Anwar hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.

Johari berkata, perkara itu diketahui Istana Negara seperti yang dijelaskan sebelum ini, namun hanya menunggu kesihatan Seri Paduka lebih stabil untuk menerima menghadap. “Tunggu istana kata okey…”.-SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button