Nasional

MB Selangor jangka pencemaran air pulih petang ini

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan pencemaran air pulih petang ini.

Menurutnya, bekalan air akan mula disalur secara berperingkat selepas pencemaran dapat diatasi.

“Saya kini di muka sauk Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air akibat pencemaran yang dikesan awal pagi ini.

“Kadar pencemaran kini ialah 1 TON. Bekalan air akan mula disalur apabila bacaan cecah 0 TON. Usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan,” katanya di Twitter.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran tersebut dan siasatan sedang dilaksanakan.

Sementara itu, Amirudin berkata, sebanyak 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 Pusat Khidmat Setempat telah digerakkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk kegunaan para pengguna yang terlibat.

Air Selangor dalam satu kenyataan awal pagi ini memberitahu Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas hari ini.

Menurut syarikat itu, pinaknya telah mengesan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 2 pagi tadi.

Henti tugas tersebut akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual terhadap 1,196,457 akaun.

Gangguan bekalan air berkenaan meliputi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sebelum ini, bekalan air di 59 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan sejak tiga hari lalu.

Ia susulan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Pada 4 Oktober lalu pencemaran Sungai Semenyih menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Insiden 4 Oktober itu berlaku hanya selepas sebulan penduduk Lembah Kelang terputus bekalan air akibat pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Kejadian awal September itu menyebabkan hampir 1.5 penduduk Lembah Kelang mengalami gangguan bekalan air kira-kira seminggu.

 

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button