Nasional

Anjung Floria jadi pusat rekreasi buka peluang perniagaan

ANJUNG Floria Putrajaya di Presint 4 yang dahulunya merupakan tapak bagi penganjuran Festival Bunga dan Taman Antarabangsa (FLORIA) Diraja Putrajaya akan dihidupkan semula menjadi pusat setempat reakasi dan riadah.

Dikenali dengan nama baru sebagai PitStop@Anjung Floria kawasan itu akan menawarkan peluang perniagaan terutama kepada golongan belia dan kumpulan profesional.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, peluang baru itu diwujudkan di kawasan tersebut sebagai usaha untuk membantu golongan terbabit yang ramai hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19

“Sebagai Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin, adalah menjadi tanggungjawab Perbadanan Putrajaya untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat.

“Terutamanya komuniti Putrajaya untuk memperbaiki taraf hidup dengan menceburi perniagaan-peniagaan yang bersesuaian di kawasan tarikan pelancongan dan rekreasi yang baharu di Putrajaya seumpamanya di Pit-Stop@Anjung Floria dan kawasan-kawasan sekelilingnya.

“Peluang-peluang perniagaan ini juga dapat membantu penduduk Putrajaya daripada pelbagai latar belakang termasuk belia dan kumpulan profesional yang telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 untuk bangun semula,” katanya.

Anjung Floria Putrajaya merupakan tapak yang strategik kerana berhubung dengan sisiran Tasik Putrajaya.

Terdapat kawasan yang telah dikenalpasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan atau pit-stop kepada pengunjung yang menjalankan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, berjoging, cruise, sukan air dan berkelah di sekitar Putrajaya.

Kawasan tersebut juga mempunyai panorama yang menarik kerana selain berlatarbelakangkan tasik Putrajaya terdapat beberapa binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Saujana.

Pit-Stop@Anjung Floria akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tapak ekspo, tapak jualan, nurseri pokok, Kampung Beca, sewaan basikal, kayak, remote control (RC), cruise, bot dan sandy beach di samping kemudahan rehat dan rawat (RnR) seperti kafe.

“Saya telah meminta Perbadanan Putrajaya (PPj) bukan sahaja melakukan penambahbaikan kepada tarikan-tarikan pelancongan yang sedia ada, malah saya telah meminta PPj untuk memikirkan tarikan-tarikan atau produk-produk pelancongan yang baharu dan inovatif agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Putrajaya.

“Ini selari dengan hasrat untuk menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Rekreasi yang unggul yang menawarkan pelbagai pilihan aktiviti-aktiviti.

“Dengan memperbanyakkan aktiviti yang menarik, lebih ramai pengunjung akan menginap semalam dua atau lebih lama di Putrajaya,” kata Annuar.

Annuar yang melakukan tinjauan ke Anjung Foria pada hari ini, saya turut berkesempatan menanam pokok kayu raja (Cassia fistula) sempena Kempen Menanam Satu Juta Pokok di Wilayah Persekutuan bagi peringkat Putrajaya.

Kempen yang berkonsepkan hutan berbunga dalam bandar itu meliputi antaranya kawasan taman awam, tasik dan rizab jalan.

Ia merupakan salah satu program cakna kehijauan di bawah inisiatif Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin yang juga selaras dengan Program Penghijauan Malaysia. Lebih 100,000 pokok akan ditanam di Putrajaya bagi menjayakan kempen tersebut.

Selain pokok kayu raja yang dipilih sebagai pokok ikonik Putrajaya dengan jambak bunga kuning berjuntaian turut akan ditanam adalah merbau, merawan, pulai dan meranti serta jenis pokok berbunga seperti semarak api
dan Tekoma.

Pada masa ini, Putrajaya yang dibangunkan berkonsepkan Bandar Dalam Taman mempunyai lebih 700,000 tanaman pokok pelbagai jenis dan spesies.-SM

 

 

(Visited 444 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button