BeritaPolitik

Gabungan Nasional atau Muafakat Nasional?

SAMA ada layak didefinisikan sebagai sebuah kerajaan baharu atau tidak, yang pasti negara akan melalui satu lagi proses perubahan kuasa.

Apa pun gelarannya, perkembangan ini memberi harapan kepada majoriti rakyat yang semakin terkesan dengan cara pentadbiran ‘era DAP.’

Perubahan suhu politik yang berlaku ini akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan Persekutuan, sementara laluan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir pula kembali sukar.

Banyak isu yang berbangkit seolah-olah menyaksikan hak-hak dan kepentingan orang Melayu – yang merupakan golongan majoriti di negara ini, gagal ditangani dengan baik.

Menerusi gabungan permuafakatan ini, secara tidak langsung telah memberi mandat kepada pucuk pimpinan untuk bertindak dengan seadil-adilnya berdasarkan hak kaum masing-masing.

DAP ‘dipersalahkan’ dan menjadi liabiliti dalam kerajaan apabila dikaitkan bertanggungjawab membuat keputusan-keputusan kurang popular – yang menampakkan hanya mementingkan parti sendiri tanpa mengambil kira kepentingan umum.

Dalam hubungan ini, perubahan yang berlaku, jika pun kewujudannya bukan sebagai kerajaan baharu, namun barisan Kabinetnya menyaksikan penyertaan wakil parti-parti gabungan baharu.

Ini kerana Perdana Menteri masih lagi individu yang sama iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir mempunyai kuasa prerogatif dalam menentukan barisan Kabinet dalam kerajaan pimpinannya.

Difahamkan persetujuan yang dicapai antara parti-parti gabungan adalah, kedudukan yang dilihat sebagai luar daripada kebiasaan itu hanya akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Bermakna, dalam tempoh sebelum PRU-15, mereka bersetuju bermuafakat atas dasar tanggungjawab dalam mentadbir urus negara.

Parti-parti yang menjayakan gabungan ini selain Bersatu adalah UMNO, Pas, sebahagian daripada Ahli Parlimen Amanah dan PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan Sabah.

Dikhabarkan, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal mengumumkan parti baharu yang menempatkan serpihan Amanah dan PKR sendiri, setelah tidak bersetuju dengan suara parti yang mahu terus bersama DAP.

MIC dan MCA pula dikatakan menyokong gabungan baharu sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Semalam juga, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua parti gabungan serta barisan Kabinet baharu.

Menurut sumber, hari ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Anwar yang diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, dengan mempunyai lebih daripada 130 sokongan Ahli Parlimen, Dr. Mahathir dilihat tiada halangan untuk mewujudkan kerajaan gabungan atau campuran seterusnya mengekalkan peranannya.

Persoalan sama ada gabungan baharu ini akan terus kekal selepas PRU-15 atau dibubarkan? Jawapannya mungkin bergantung kepada sejauh mana kejayaan permuafakatan itu sendiri.

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button