fbpx
Jenayah

Animal Malaysia ragu 23 ekor lembu mati akibat dipanah petir

PETUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Animal Malaysia menuntut satu kenyataan teknikal dan klinikal rasmi secara bertulis mengenai punca sebenar kematian 23 ekor lembu secara mengejut di Felda Aping Timur, Kota Tinggi Johor semalam.

Menurut NGO itu, mereka menerima banyak aduan dan bantahan yang mahukan punca sebenar kematian lembu secara setentak dengan jumlah yang banyak itu diperhalusi.

Animal Malaysia dalam satu kenyataan berkata, masyarakat pencinta haiwan meragui dakwaan Jabatan Perkhimatan Veterinar (DVS) Negeri Johor bahawa kematian lembu-lembu berkenaan akibat panahan dan dentuman petir.

“Justeru satu penjelasan teknikal dan klinikal punca kematian perlu dihurai supaya masyarakat berpuas hati kematian lembu bukan disebabkan perbutan khianat manusia,” kata Animal Malaysia.

NGO itu juga berpandangan penternakan lembu secara bebas tidak lagi sesuai kerana banyak kes pembunuhan haiwan ternakan diracun kerana didakwa menceroboh halaman, kebun dan ladang milik orang lain.


Menurut mereka, Akta Kebajikan Haiwan 2015 juga meletakkan tanggungjawab kecederaan, kematian dan pengabaian haiwan pada bahu pemilik atau penternak sekiranya haiwan dianiaya atau berlaku kemalangan akibat kecuaian dan pengabaian pemilik.

Dalam laporan media semalam pengusaha ternakan lembu Yusman Md Yousof, 38 terkejut apabila melihat 23 ekor lembunya mati di ladang sawit di FELDA Aping Timur, dekat Kota Tinggi, yang dijaga secara ternak lepas.

“Pagi itu, saya ada bungkus makanan untuk bersarapan di ladang sawit. Ketika itu, jarak saya dengan lokasi kejadian (tempat lembu mati) kira-kira 300 meter.

“Datang sekumpulan lembu yang saya bela menghampiri dan mengeluarkan bunyi bising seolah-olah seperti ada yang tidak kena. Kemudiannya, saya jumpa ada lembu mati bergelimpangan,” katanya.
Yusman yang mula menternak lembu sejak berumur 17 tahun itu berkata, kejadian berkenaan pertama kali berlaku kepada dirinya dan insiden tersebut menyebabkan beliau kerugian RM46.000.

“Pegawai Penyiasat veterinar datang menjalankan siasatan dan dimaklumkan lembu saya dipercayai kena panah petir.

“Ia dipercayai berlaku disebabkan bencana alam, bukan akibat terkena racun berikutan tiada kesan fizikal pada anggota badan lembu seperti mulut berbuih dan sebagainya.

“Mengikut keadaan lembu saya juga, dimaklumkan berlaku malam kelmarin (8 Jun). Memang pada malam itu kawasan FELDA ini hujan lebat dan ada ribut,” katanya.-SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button