Nasional

Terkini MH122: Lelaki ganggu penerbangan didakwa di Mahkamah

POLIS Persekutuan Australia (AFP) mengesahkan lelaki yang mengganggu penerbangan Malaysia Airlines MH122 tengah hari semalam didakwa di Mahkamah, hari ini.

Lelaki itu yang juga merupakan penumpang dalam pesawat MH122 berasal dari Canberra berusia 45 tahun, didakwa dengan satu pertuduhan membuat kenyataan palsu mengenai ancaman untuk merosakkan pesawat itu dengan kononnya dia memiliki bahan letupan.

AFP berkata, satu lagi pertuduhan dikenakan ke atas lelaki itu ialah bagi kesalahan penumpang tidak mematuhi arahan keselamatan kru kabin.

Pesawat MH122 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, berlepas dari Lapangan Terbang Sydney pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan, semalam dengan membawa 199 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat itu bagaimanapun terpaksa berpatah balik sebelum membuat pendaratan kecemasan pada jam 3.47 petang, sebelum penumpang dibenarkan keluar dari pesawat pada kira-kira jam 6.30 petang.

Video kekecohan yang berlaku dalam pesawat itu sempat dirakamkan penumpang lain yang menunjukkan lelaki itu menggunakan beg galas mengancam penumpang dan kru kabin.

Menceritakan detik cemas itu, Velutha Parambath yang berada dalam pesawat bersama isteri dan anak-anaknya berkata, lelaki itu mula berdoa dengan kuat sejurus selepas berlepas.

“Masa itu kami ingat, dia berdoa untuk semua orang. Lelaki itu menunjukkan beg galasnya berwarna hitam dengan mendakwa dia mempunyai kuasa,” katanya kepada portal Today.

Kata Parambath, anak kapal pantas mengawal keadaan bagi menenangkan lelaki itu sehingga pesawat itu berjaya membuat pendaratan kecemasan.

“Pihak berkuasa tempatan mengambil masa agak lama untuk menyelesaikan kes itu apabila kami terpaksa menunggu lama di dalam pesawat sehingga jam 6.30 petang sebelum dibenarkan keluar dari pesawat.

“Kami faham pihak berkuasa mengikut prosedur namun kami bimbang apa-apa berlaku dan ingin keluar cepat dari pesawat itu,” katanya.

Beberapa penumpang lain turut mengadu mereka tidak dimaklumkan bilakah akan meneruskan penerbangan, selain bagasi mereka masih berada di dalam pesawat.

“Penumpang yang tinggal di Sydney dibenarkan pulang manakala penumpang lain diberikan baucar untuk menginap di hotel berdekatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Malaysia Airlines (MAS) berkata, tindakan membuat pendaratan kecemasan itu adalah demi keselamatan penumpang dan kru dalam pesawat itu.

Susulan kejadian, Lapangan Terbang Sydney mengesahkan, 32 penerbangan domestik dibatalkan merangkumi 16 penerbangan (masuk) dan 16 penerbangan (keluar).

Katanya, beberapa penerbangan domestik lain juga mengalami kelewatan sehingga 90 minit. – SM

BACA Penerbangan MH122 terpaksa patah balik ke Sydney kerana gangguan penumpang

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button