Bola Sepak

Negeri Sembilan kekal khidmat empat pemain import hadapi Liga-M 2020

PERSATUAN Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengekalkan khidmat empat pemain import sedia ada bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Tiga pemain import berkenaan berasal dari Brazil, iaitu Matheus Fernandes Vila Real yang bermain di posisi pertahanan, Jose Almir Barros Neto dan Igor Carneiro Luiz yang beraksi selaku penyerang, selain pemain tengah, Shunsuke Nakatake dari Jepun.

Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, mereka dikekalkan berdasarkan sumbangan positif yang diberikan bersama Skuad Rusa dalam kempen Liga-M pada musim ini.

“Selain itu, faktor keserasian juga telah mendorong kita untuk mengekalkan mereka beraksi bersama Skuad Rusa musim depan. Kita percaya pemain import terbabit mampu memberikan sumbangan lebih baik pada musim depan,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan ketua jurulatih baharu skuad Liga Premier Negeri Sembilan, Sazali Saidon di Seremban, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri yang juga Naib Presiden PBNS, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Mengulas lanjut, Tunku Syed Razman yang juga Tunku Besar Tampin berkata, Skuad Rusa turut diperkuatkan dengan tujuh muka baharu termasuk bekas pemain, Shahurain Abu Samah yang pernah beraksi bersama Skuad Rusa dari 2006 hingga 2013.

Enam pemain lain adalah bekas kapten PKNS FC, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Ahmad Azriddin Rosli (UiTM FC), Mohd Arip Amiruddin (UKM FC), Muhammad Nazrul Kamaruzaman (Selangor United), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak FA) dan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan (Penang FA).

PBNS turut bersetuju menyerap tiga pemain Piala Presiden (Bawah 21 tahun) ke dalam skuad utama iaitu Muhammad Idham Zuhair Roslisam, Khairul Anuar Yusri Lani, dan penjaga gol, Muhammad Aizat Roslim, katanya.

Dalam pada itu, Tunku Syed Razman memaklumkan, pelantikan Sazali yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan selaku pengendali baharu serta pengarah teknikal Skuad Rusa diputuskan berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki bekas pemain negeri berkenaan.

Sazali sebelum itu pernah menjadi penolong ketua jurulatih pasukan Johor FA dari 2006 sehingga 2011, selain bertindak selaku penolong ketua jurulatih skuad Harimau Muda C pada tahun 2014.

Pada masa yang sama, Tunku Syed Razman mendedahkan beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan Skuad Rusa pada musim ini termasuk menamatkan saingan Liga Premier di tangga keenam daripada 11 pasukan dengan kutipan 29 mata, selain mengakhiri saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan.

PBNS sebelum ini menyasarkan kelompok dua pasukan teratas dalam saingan Liga Premier 2020 untuk layak beraksi dalam Liga Super 2021.

Senarai penuh pemain Negeri Sembilan musim 2020:

Penjaga gol: Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman, Muhamad Hamka Daud, Muhammad Aizat Roslim.

Pemain Pertahanan: Izaaq Izhan Yuswardi, Adam Othman Arfah, Norhafiz Zamani Misbah, Danial Hadri Effendi Jagan, Matheus Fernandes Vila Real, Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Arip Amiruddin, Muhammad Idham Zuhair Roslisam.

Pemain Tengah: Abdul Halim Zainal, Mohammad Aiman Mohamad Khalidi, Muhamad Asraf Roslan, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin, G. Durrkeswaran, Shunsuke Nakatake, Shahurain Abu Samah, Ahmad Azriddin Rosli, Nur Shamie Iszuan Amin dan Khairul Anuar Yusri Lani

Penyerang: Mohd Fauzi Abdul Latif, Jose Almir Barros Neto, Igor Carneiro Luiz dan Muhammad Nazrul Kamaruzaman. – BERNAMA

(Visited 654 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button