Ekonomi

Angkasa saran koperasi bergerak aktif dalam sektor perumahan

ANGKASA menyarankan gerakan koperasi di negara ini menceburi dan bergerak aktif dalam sektor perumahan yang mana dapat membantu anggota serta masyarakat dalam menyediakan tempat tinggal dengan harga berpatutan serta kompetitif selain dapat menjana perolehan melalui perniagaan berimpak tinggi.

Presiden Angkasa merangkap Pertubuhan Koperasi ASEAN,  Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, isu kos pemilikan rumah merupakan isu nasional yang seringkali dibangkitkan memandangkan ramai yang masih belum mampu memiliknya kerana harga hartanah yang agak tinggi berbanding dengan jumlah pendapatan yang diterima oleh rakyat di negara ini.

“Semangnya rakyat mengharapkan kepada kerajaan untuk menangani isu pemilikan rumah namun pada masa yang sama koperasi juga harus memainkan peranan dalam menyelesaikan isu ini.

“Sifat koperasi yang dibangunkan demi memenuhi keperluan anggota harus diperkasa supaya lebih menyeluruh termasuk penyediaan rumah yang menjadi keperluan asas setiap keluarga.

“Angkasa amat mengalu –alukan usaha dari pihak KOPAMA hari ini dan ianya harus menjadi contoh kepada koperasi yang lain untuk turut serta dalam sektor berimpak tinggi ini,” katanya ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Contoh kepada anggota Koperasi Alumni MKM Berhad (KOPAMA) di Felda Bukit Batu, Kulai, Johor pada hari ini.


Selain itu katanya, koperasi juga digalakkan untuk terlibat dalam perniagaan ‘hardware’ di mana koperasi boleh menjadi pembekal barangan pembinaan kepada koperasi yang terlibat dengan sektor hartanah dan juga syarikat swasta yang lain.

“ANGKASA melihat potensi cukup besar dalam bidang ini dan telah mewujudkan Sektor Hartanah dan Industri Binaan demi merealisasikan penglibatan koperasi dalam sektor tersebut. Justeru jaringan CoopHardware dibangunkan untuk meningkatkan kebolehupayaan koperasi dalam sistem perniagaan dan pemasaran produk hardware dan pembekalan bahan binaan.

“Angkasa berharap dapat meningkatkan keterlibatan lebih banyak koperasi dalam sektor ini demi memberi manfaat bukan sahaja kepada gerakan koperasi malah kepada rakyat di negara ini dalam isu pemilikan rumahm”

Hadir sama pada majlis itu Naib-Naib Presiden Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Datuk  Che Mohd Shukree Che Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Johor,
Sazali Abd Hamid.

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button