Ekonomi

ANGKASA saran ketengahkan golongan belia terajui koperasi

GOLONGAN belia perlu diketengahkan dan diberi peluang mengurus dan mentadbir koperasi bagi  meningkatkan  daya saing gerakan ini melalui sumbangan idea dan tenaga golongan muda sekali gus
menarik minat lebih ramai golongan itu memilih koperasi untuk memulakan perniagaan.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, golongan belia akan lebih tertarik untuk menyertai koperasi apabila melihat ada di kalangan mereka yang diberi peluang memimpin dan menguruskan institusi ini sebagai platform mandiri sosiekonomi.

Katanya, koperasi bukan sahaja menawarkan peningkatan taraf ekonomi, malah ianya membuka peluang  pekerjaan dan wadah untuk membina kerjaya kepada golongan tersebut.

“Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga 31 Disember 2020, terdapat 199 buah koperasi belia dengan keanggotaan seramai 85,697 individu, syer/ yuran sebanyak RM34.9 juta, aset sebanyak RM125.1 juta dan perolehan sebanyak RM14.7 juta,” kata Abdul Fattah semasa merasmikan Webinar Kerjasama Strategik Menjamin Kecemerlangan Belia Dalam Koperasi pada hari ini yang dijalankan secara maya.

Katanya, penglibatan golongan belia dalam gerakan koperasi harus dipertingkatkan lagi kerana keistimewaan golongan ini yang terdedah dengan penggunaan teknologi seawal usia dan pengetahuan ini amat penting untuk diaplikasikan dalam gerakan koperasi supaya institusi ini bergerak seiring dengan perkembangan digital.

Selain dari mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik, golongan belia juga memerlukan platform untuk mereka mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk latihan untuk mendapatkan pengalaman kerjaya.

Maka koperasi boleh dijadikan platform kepada belia untuk membina dan mengasah bakat dalam ilmu  pengurusan dan pentadbiran. Kefahaman prinsip dan jati diri koperasi akan mewujudkan pelapis pemimpin masyarakat dan negara yang cakna dengan konsep ekonomi inklusif dengan menekankan kepada kesaksamaan dan pengagihan kekayaan yang adil dan mampan. Usaha ini selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang berhasrat untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan belia.

“Antara langkah yang akan diambil oleh ANGKASA bagi memajukan koperasi belia adalah melalui kerjasama dengan Majlis Belia Malaysia bagi mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia menubuhkan koperasi. ANGKASA menyarankan Tabung Ekonomi Belia yang diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan diperluas kepada koperasi belia,” katanya.

Abdul Fattah Abdullah turut menekankan kepentingan bagi koperasi belia menjalinkan hubungan strategik dengan badan kerajaan, agensi berkaitan koperasi dan lain-lain organisasi bagi menggerakkan sesuatu projek atau aktiviti perniagaan sebagai salah satu kaedah dalam memajukan perniagaan, meningkatkan jumlah
pelanggan, memperoleh idea dan pandangan baharu serta mengembangkan produk yang lebih berinovasi.

Hadir sama Naib-Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Mohammad Zaini bin Mohamud; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA (JPAN) Negeri Sarawak, Wan Azizan Wan Zainal Abidin; Timbalan Pengerusi EXCO Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Belia Malaysia, Nurliana binti Muhammad dan Pengerusi Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad, Zaiwin bin Kassim.

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button