Mahkamah

Kes Zahid tangguh, peguam maklum tertuduh sakit saluran kencing

PENDENGARAN kes perbicaraan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan 47 pertuduhan jenayah berakhir awal hari ini selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu dia kurang sihat dan meminta untuk memberi keterangan pagi esok.

Zahid memberi keterangan sebagai saksi pertama setelah diperintah membela diri, dengan hari ini merupakan hari ke-16 beliau di kandang saksi.

Sama seperti peguamnya Hamidi Mohd Noh meminta rehat sebentar sebelum meneruskan soalan petang tadi berhubung pertuduhan pengubahan wang haram, Zahid meminta hakim menamatkan prosiding lebih awal hari ini.

“Yang Arif, saya memohon kerana saya kurang sihat, saya minta sesi itu dilakukan esok pagi,” katanya menurut laporan MalayMail.

Hamidi kemudian menjelaskan kepada hakim bahawa beliau sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa Zahid “mengambil ubat” dan “ubat penahan sakit menyebabkan dia kerap ke tandas, jadi saya rasa dia tidak sihat”.

Hamidi meminta Mahkamah Tinggi memberi sedikit masa kepada Zahid dan berkata anak guamnya hanya meminta penangguhan awal prosiding mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mencadangkan Hamidi masih boleh meneruskan soalan kepada Zahid sebagai saksi pembelaan.

Hamidi menyatakan bahawa ini tidak mungkin kerana Zahid tidak sihat, sebelum hakim kemudian membenarkan perbicaraan berakhir awal.

“Hakikat tertuduh tidak sihat, saya fikir kita menangguhkan ke esok,” kata hakim.

Hamidi berkata beliau akan meminta Zahid memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara yang berkaitan dengan pertuduhan pengubahan wang haramnya esok.

Awal pagi ini apabila prosiding mahkamah bermula, peguam Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi tentang keadaan anak guamnya.

“Sebelum kita mulakan, Yang Ariff, untuk makluman Yang Arif, Datuk Seri masih berubat kerana bronkitis dan jangkitan saluran kencing, jadi beliau perlu ke tandas mungkin setiap 45 minit,” kata peguam itu kira-kira jam 10.06 pagi tadi.

Mengikut Cleveland Clinic, jangkitan saluran kencing (UTI) adalah jenis jangkitan yang sangat biasa dalam sistem pembuangan air kecil. UTI boleh melibatkan mana-mana bahagian sistem pembuangan air kecil, termasuk uretra, ureter, pundi kencing dan buah pinggang.

Simptom lazimnya termasuk perlu kerap membuang air kecil, sakit ketika membuang air kecil dan rasa sakit di bahagian tepi atau bahagian bawah punggung.

Kebanyakan UTI boleh dirawat dengan antibiotik.

Kira-kira jam 10.47 pagi, Mahkamah Tinggi memberi rehat sebentar seperti yang diminta oleh Zaidi.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan peguam Zahid untuk rehat diberikan sepanjang prosiding mahkamah kerana anak guam mereka perlu ke tandas.

Pada 22 Ogos, Hamidi juga telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Zahid “sedang mengambil ubat” dan “memaksa dia pergi ke tandas setiap setengah jam” dan meminta rehat diberikan pada ketika itu.

Dalam kes ini, Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya kerana pecah amanah berhubung lebih RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB), 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.

Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

(Visited 2,374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button