Mahkamahpilihan

Anggota tentera didakwa rogol, amang seksual anak saudara 11 tahun

Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah sewaktu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka di sini hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 12.00 tengah hari pada 29 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Bapa kepada dua anak perempuan berusia 14 dan 11 tahun itu turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba alat sulit bagi tujuan seksual.

Kesalahan dilakukan di lokasi sama pada pukul 11.00 malam, 28 Disember 2021 dan sabit kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 ke atas tertuduh.

Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius sebagai bapa saudara mangsa dan mengambil kesempatan ketika mangsa dihantar ke rumah tertuduh untuk dijaga isterinya sepanjang waktu persekolahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan antara RM1,800 hingga RM2,100 sebulan serta menangung isteri serta dua anaknya yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd. Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Syarat tambahan itu apabila tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai kerana tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 16 Mac depan sebagai sebutan semula kes tersebut selain menunggu laporan perubatan penuh mangsa. – SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button