
Anggota Polis Reman Kes Bunuh Ditemui Mati Dalam Tahanan
SEORANG anggota polis yang sedang dalam tahanan reman ditemukan meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, semalam.
Mangsa berusia 28 tahun berasal dari Setiu, Terengganu itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam selnya oleh wadar sekitar jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 5.25 petang dan siasatan awal mengesahkan mangsa merupakan anggota polis.
“Sebelum kejadian, mangsa dijadualkan hadir ke Mahkamah Majistret Kangar jam 8 pagi, namun enggan berbuat demikian. Sepanjang hari, dia berada dalam sel dan dilawati secara berkala oleh wadar bertugas, yang mendapati mangsa hanya berbaring dalam keadaan diam.
“Ketika rondaan jam 4.30 petang, wadar cuba mengejutkan mangsa yang disangka sedang tidur, namun mendapati tiada tindak balas. Mangsa segera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, namun disahkan telah meninggal dunia sebelum tiba di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, laporan polis berhubung insiden dibuat pada jam 5.25 petang.
Siasatan mendapati mangsa adalah anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang direman sejak 17 Mac 2023 kerana berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes bunuh. Dia sedang menunggu keputusan hukuman daripada Mahkamah Tinggi Kangar.
Tambah Ahmad Mohsin, mangsa juga mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan pernah menerima rawatan psikiatri di beberapa hospital sejak 2017.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kematian. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.