MahkamahNasional

Dua termasuk warga Bangladesh didakwa bunuh jurukimpal

DUA lelaki termasuk seorang warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurukimpal warga Bangladesh sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, tahun lalu.

Buruh kilang besi Md Mojibur Rahman, 30, yang juga warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan K Visvanathan, 57, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 April ini untuk mendapatkan laporan kimia serta bedah siasat.

Mereka didakwa bersama membunuh Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Batu Arang, Selangor antara pukul 9 malam hingga 9.40 malam, 29 Dis 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta kesan cedera di kepala.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan cedera parah dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul. – SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button