Nasionalpilihan

PRIHATIN sedia bantu 89,000 pelajar B40

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) akan mencari jalan bagi menyalurkan bantuan kepada kira-kira 89,000 pelajar yang dikategorikan dalam golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, setakat ini PRIHATIN membantu kira-kira 4,000 pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) dalam siri jelajah di tujuh buah negeri.

Menurutnya, bantuan yang diberikan dalam bentuk kewangan, peralatan sekolah, komputer riba dan pelbagai bentuk bantuan lain berdasarkan sumbangan daripada rakan strategik PRIHATIN.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM4 juta telah dibelanjakan bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar dari golongan B40.

“Kita dimaklumkan seramai 89,000 pelajar adalah dari golongan B40 dan data ini diperolehi selepas menghubungi pihak universiti dan pihak zakat negeri.

“Kita tak boleh bantu semua secara serentak tetapi apa yang kami buat adalah kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan korporat yang lain.

“Namun kita ada perancangan bagaimana nak menyalurkan bantuan kepada mereka dalam bentuk kewangan, bantuan alat tulis, baucar buku dan sebagainya sepanjang tahun ini.

“Ini semua bergantung kepada rakan strategik PRIHATIN seperti Yayasan Taqwa, DXN Holdings Berhad serta beberapa syarikat-syarikat swasta yang ingin bekerjasama dengan kami,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Kepimpinan Anak Muda Peringkat Negeri Melaka di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof. TS Dr. Marssila Kamalrudin dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Mengulas lanjut Mohd. Aizuddin berkata, sumbangan turut diperoleh menerusi penganjuran konsert artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan artis terkenal Indonesia, Rossa tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian daripada hasil penjualan tiket konsert tersebut akan disalurkan ke tabung PRIHATIN.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 600 pelajar B40 dari UTeM dan golongan asnaf di negeri ini dibantu dengan pemberian wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang.

Katanya, selepas ini program ini akan bergerak ke Johor selain pelajar dari Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat. – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button