Politik

Anda wajib percaya Zahid pembela akar umbi, Ismail Sabri PM yang lemah

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat kecewa apabila hasrat beliau untuk menjadi timbalan buat kali kedua telah ditolak oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk.

Sebaik kerajaan menggantikan Pakatan Harapan (PH) dibentuk Zahid telah mengutus Tan Sri Annuar Musa untuk bertemu dengan Muhyiddin bagi menyatakan hasrat dan berunding untuk Zahid mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Muhyiddin.

Hal itu menyebabkan Zahid amat kecewa kerana merasakan dia perlu mengisi jawatan itu demi membela akar umbi UMNO dan rakyat, apatah lagi beliau Presiden UMNO, iaitu parti terbesar orang Melayu dan parti terunggul di negara ini.

Begitu kecewa kerana tidak dapat berkhidmat untuk rakyat dan akar umbi Zahid memutuskan jika jawatan itu tidak berikan kepada dia, tiada siapa yang akan dibenar menyandangnya.

Maka terpaksalah Muhyiddin mewujudkan jawatan menteri kanan, bagi memastikan sokongan terhadap PN kekal.

Selepas 17 bulan akhirnya Zahid memutuskan untuk menarik sokongan bersama-sama 15 wakil rakyat dari UMNO. Ini menyebabkan Muhyiddin terpaksa turun daripada jawatannya dan menyerahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sokongan Zahid terhadap Ismail tidak berpanjangan kini dia mula menggunakan para panglima yang terdiri daripada mereka yang terkorban pada pilihan raya lalu kerana kalah besar seperti Nur Jazlan untuk menyerang Ismail sebagai PM yang lemah.

Tidak salah tindakan Zahid itu yang kini berdepan dengan tuduhan kes salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram tetapi mahu memperjuangkan akar umbi dan bukan untuk tujuan lain.

Ismail harus dijatuhkan kerana tidak mahu mendengar cakap Zahid supaya pilihan raya diadakan segera, walaupun Ismail telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menstabilkan dahulu politik negara ini dan pada masa yang sama membela rakyat.

Segi fizikal sahaja Ismail kelihatan lemah kerana tidak berotot seperti The Rock telah berjaya menghadapi pandemik Covid-19 dan membawa negara kita ke era endemik dan kini berusaha memulihkan keadaan ekonomi negara yang terjejas bersama-sama pegunnya ekonomi dunia.

Ismail memang seorang pemimpin yang lemah kerana sering mengutamakan rakyat dengan memberi pelbagai bantuan walaupun tidak dipersetujui oleh banyak pihak.

Ismail memang lemah apabila enggan menaikkan tarif elektrik, sedangkan sumber arang batu diimport dari Indonesia sangat mahal harganya pada masa ini, bahkan Indonesia sendiri telah menaikkan tarif elektriknya.

Kelemahan Ismail semakin ketara kerana tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya mengekalkan subsidi walaupun ayam bukanlah barangan kawalan.

Ismail lemah melihat rakyat negara ini kerana memakan ayam dengan begitu banyak sehingga jumlahnya melebihi di negara-negara lain di dunia.

Ayam sumber protein yang murah di negara ini, walaupun di kebanyakan negara lain ia adalah barangan mahal termasuklah di negara tetangga seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Ismail memang lemah kerana mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli parlimen termasuk daripada pihak pembangkang dan beliau juga enggan mengadakan pilihan raya umum awal.

Beliau terlalu mengutamakan rakyat kerana mahu membentangkan bajet terlebih dahulu bagi memastikan kebajikan rakyat dijaga dan pada masa yang sama dasar yang proaktif dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis ekonomi negara.

Selemah-lemah Ismail kita lihat nanti apakah UMNO akan memilih beliau atau Zahid sebagai presiden UMNO nanti.

(Visited 645 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button