Luar Negara

“Anda pilih, vaksin atau saya akan penjarakan anda,” – Duterte

PRESIDEN Rodrigo Duterte mengugut akan menghantar rakyatnya yang enggan menerima vaksin Covid-19 ke penjara ketika Filipina bergelut dengan pandemik itu dengan lebih 1.3 juta kes dan lebih 23,000 kematian dilaporkan setakat ini.

“Anda pilih, vaksin atau saya akan penjarakan anda,” kata Duterte dalam ucapan yang disiarkan di televisyen semalam susulan kadar kehadiran rendah di beberapa lokasi vaksinasi di ibu negara Manila.

Kenyataan Duterte bercanggah dengan pegawai kesihatannya yang berkata, walaupun rakyat digesa menerima vaksin Covid-19, ia atas dasar sukarela.

“Jangan salah faham, terdapat krisis di negara ini. Saya jengkel dengan warga Filipina yang enggan mendengar nasihat kerajaan,” kata Duterte.

Setakat Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina memberikan vaksin penuh kepada 2.1 juta orang, kemajuan perlahan ke arah mencapai sasaran 70 juta daripada 110 juta populasi di negara itu divaksin tahun ini.

Duterte yang dikritik kerana pendekatan kerasnya untuk membendung virus itu, bertegas dengan keputusannya tidak membenarkan sekolah dibuka semula.

Dalam kenyataan sama, beliau membidas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), selepas seorang pendakwa raya ICC mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mengadakan inkuiri penuh ke atas pembunuhan dalam kempen perang dadah di Filipina.

Pada Mac 2018 Duterte membatalkan keahlian Filipina dalam perjanjian pengasas ICC, mengulangi beliau tidak akan bekerjasama dalam siasatan itu dan menyifatkan ICC “mengarut”.

“Mengapa saya perlu mempertahankan diri atau didakwa di depan orang kulit putih? Anda mesti gila,” kata Duterte, yang melancarkan kempen antinarkotik membunuh ribuan orang, selepas memenangi jawatan presiden pada 2016.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, pihak berkuasa terus membunuh suspek dadah, tetapi Duterte mempertahankan individu dibunuh dengan kejam melawan ketika penahanan.

Jurucakap ICC, Fadi El Abdallah berkata: “Mahkamah ialah institusi kehakiman bebas dan tidak mengulas kenyataan politik.” – SM

 

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button