Politik

Individu saman kerajaan Perak isu tanah 999 tahun

Oleh Perak Gazzete 

SEORANG individu mengambil tindakan menyaman kerajaan negeri berhubung isu hak milik tanah 999 tahun selain mahu mahkamah mengeluarkan perintah injuksi agar isu itu dihentikan.

Saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini semalam.

Menjelaskan tindakannya, individu tersebut, Aswannudin Harifudin memberitahu, beliau mahu kerajaan negeri bersikap telus untuk menjawab teka-teki berhubung isu berkenaan.

Tegasnya, kerajaan negeri wajib menerangkan kepada rakyat Perak secara telus dan jelas bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tanggapan.

Ini kerana beliau bimbang isu tersebut akan menjadi polemik sekali gus memberi imej negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri jika terus bersikap berdolak dalik.

Tegasnya, sekiranya perkara itu memang menjadi agenda kerajaan negeri maka semua barisan Exco hendaklah turut memberikan jawapan senada.

“Sebagai anak jati Perak yang dilahir dan dibesarkan di negeri berdaulat ini, saya juga merupakan rakyat Paduka Seri Sultan Perak yang taat dan setia kepada baginda.

“Saya membaca di media massa sebelum ini (isu tanah 999 tahun) dan amat hairan dalam banyak-banyak janji menifesto mengapa perkara tanah hak milik kekal 999 tahun ini seakan-akan menjadi keutamaan kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di hadapan pintu masuk kompleks Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Sesalinan saman pemula, afidavit, resit pemfailan dan dokumen berkaitan yang telah difailkah di Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin kemudian diserahkan kepada wakil Menteri Besar Perak.

Tegas beliau lagi, apa yang membimbangkan ialah apabila ada cakap-cakap kononnya isu berkenaan hendak diputuskan kerajaan negeri pada penghujung bulan ini.

“Sejak awal-awal lagi isu ini nampak ganjil kerana ada pihak yang berkata hendak beri pajakan tanah 999 tahun dan ada pula kata hendak beri hak milik kekal.

“Jadi mana satu yang betul? Apakah kriteria asas mereka yang layak menerima tanah ini dan berapa pula jumlah keluasan semuanya?

“Mengapa ia tidak dibincangkan dengan pemegang-pemegang taruh selain saya merasakan kerajaan negeri perlu memberi masa membincangkan hal ini sebelum ia hendak dilaksanakan.

“Isu tanah untuk rakyat adalah keperluan asas, ianya tidak harus digunakan mana-mana parti politik untuk mencari sokongan,” tegasnya yang juga merupakan Presiden Majlis Belia negeri. – Perak Gazette.

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button