Berita

Anarchy7Sky7 Disaman Isu Infaq dan Fitnah

PEMPEGARUH TikTok, Anarchy7Sky7 atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Sulaiman, bakal dikenakan tindakan undang-undang saman dari dua usahawan wanita mendakwanya atas isu penyelewengan wang infaq dan fitnah secara terbuka di media sosial.

Rogayah Hanipah, yang dikenali sebagai Madam Gee Luv, mendakwa telah menyalurkan sumbangan sejak Disember 2023 hingga Mac 2024 untuk tujuan amal Ramadan, namun mula curiga apabila tiada sebarang pengesahan diberikan.

“Saya difahamkan sumbangan itu untuk golongan OKU, tapi bila nama saya tidak disenaraikan dan tiada resit diberikan, saya bertanya. Malangnya, saya dimarahi dan dituduh mengkhianatinya,” jelasnya.

Madam Gee turut mendakwa dirinya menjadi sasaran kata-kata kesat dalam sesi siaran langsung Sky, hingga menjejaskan kesihatan mental serta reputasi perniagaannya.

“Saya mengalami tekanan emosi dan perlu mendapatkan rawatan pakar. Lebih menyedihkan, perniagaan saya turut terjejas,” ujarnya.

Beliau telah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Sky pada 14 Mei lalu, namun lelaki itu dikatakan enggan memohon maaf dan mencabar agar saman diteruskan.

Norzaida Hadis atau lebih dikenali sebagai Anne Aqish, pemilik A&A Car Rental Senawang, turut tampil dengan dakwaan sama apabila dituduh berkomplot menjatuhkan Sky selepas cuba keluar daripada kumpulan ‘Sky Kingdom’ yang disertainya.

“Saya beli baju untuk sertai kumpulan itu, kemudian tiba-tiba dilantik sebagai admin tanpa persetujuan. Bila saya keluar grup, saya pula dituduh khianat,” katanya.

Anne turut menyerahkan LOD dan menerima layanan sama seperti Madam Gee apabila Sky enggan meminta maaf serta mencabar tindakan undang-undang.

Susulan kejadian, kedua-duanya telah membuat laporan polis – Madam Gee di Balai Dang Wangi dan Anne di Balai Polis Senawang. Mereka kini diwakili peguam Risma Yurini Rizrul dan Arieff Zackry Zohary dari firma guaman Zati Khairiah & Partners.

“Fitnah terbuka ini telah menjejaskan reputasi dan perniagaan anak guam kami. Oleh kerana Sky tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap LOD, kami akan meneruskan tindakan saman dalam masa terdekat,” kata Risma.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button