Ekonomi

Prestasi terburuk ASB kerana kerajaan gagal urus ekonomi

KUALA LUMPUR  – Prestasi teruk kadar bayaran dividen dalam sejarah Amanah Saham Bumiputra (ASB) yang diumumkan semalam membuktikan ekonomi negara pada tahap yang terburuk.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hanya memberi alasan bahawa ketidaktentuan keadaan ekonomi dunia dan kejatuhan pasaran saham tempatan adalah punca agihan pendapatan ASB yang rendah.

Namun menurut Mohamad, kejatuhan ekonomi negara dan prestasi pasaran saham yang buruk adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negara.

“Gagal kerana ketidakcekapan menteri-menterinya serta ketidakstabilan politik negara kerana perebutan kuasa dalam kerajaan.

“Malaysia, negara kita, sedang menghadapi krisis keyakinan masyarakat kewangan antarabangsa.

“Kerajaan PH seharusnya mesti fokus dalam menangani masalah ekonomi negara yang teruk ini, demi untuk kesejahteraan rakyat dan bukan hanya galak berebut kuasa,  sehingga tanggungjawab kepada rakyat  terus terabai,” kata Mohamad.

Semalam Zeti mengumumkan dividen dan bonus ASB pada tahun ini hanyalah 5.5 peratus iaitu yang paling rendah dalam sejarah, sejak ASB ditubuhkan pada 1990.

Menurut Mohamad, sejak tahun 1990 kadar purata dividen dan bonus ASB adalah 10.06 peratus.

“Pada tahun 1997-1999, walaupun negara menghadapi krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah, dividen dan bonus ASB adalah melebihi 10 peratus iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada tahun ini.

“Pada tahun 2008-2009, ketika ekonomi dunia tidak menentu akibat krisis ekonomi sub-prima di Amerika Syarikat yang memberi kesan buruk di seluruh dunia, dividen dan bonus ASB masih kekal tinggi di atas 8 peratus,” jelas Mohamad.

Mohamad berkata, pelabur dan pakar-pakar ekonomi mengatakan bahawa ekonomi negara sedang dan telah merudum.

Keadaan ini mungkin akan menjadi lebih teruk berbanding krisis ekonomi pada tahun 1997-1999 dan 2008-2009 dahulu.-SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button