Nasionalpilihan

Tubuh Paramedik Komuniti di lokasi pelancongan di Melaka

Kerajaan negeri akan mewujudkan penubuhan paramedik komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lokasi-lokasi pelancongan terpilih sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurutnya, penubuhan pasukan itu bertujuan untuk mereka bertindak memberikan bantuan kecemasan awal kepada pelancong dan pengunjung yang tiba-tiba ditimpa sakit sebelum dihantar ke klinik dan pusat perubatan berhampiran.

“Saya percaya pelantikan kumpulan awal seramai 30 orang sukarelawan Paramedik Komuniti dalam kalangan penduduk setempat ini di lokasi pelancongan sekali gus dapat membantu mengurangkan beban petugas kesihatan.

“Ini merupakan inisiatif yang julung kali diadakan dan menjadi perintis di  Melaka dengan penubuhan Paramedik Komuniti Melaka. Pasukan Paramedik Komuniti di setiap DUN serta lokasi-lokasi pelancongan terpilih,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Vest, Buku Pasport Sukarelawan TMM2024 dan Inisiatif Paramedik Komuniti 2024 di Dataran Pengkalan Rama malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam pada itu Ab. Rauf berkata, seramai 500 sukarelawan telah dilatih dan diberikan pengetahuan mengenai lokasi-lokasi pelancongan menarik dan sejarah Melaka akan berkhidmat sepanjang TMM 2024.

Menurutnya, mereka secara tidak langsung akan menjadi duta pelancongan bagi pihak kerajaan negeri.

“Kalau datang Melaka dan nampak sukarelawan memakai baju volunteer mereka ini telah didalami ilmu tentang kawasan-kawasan menarik serta akan memberi
penerangan,” ujarnya.

Beliau berkata, Melaka sudah bersedia untuk menerima kunjungan pelancong serta telah menyusun sebanyak 76 acara pelancongan termasuk 30 acara pelancongan utama tahun depan.

“Setiap bulan ada pelbagai program dan aktiviti akan diadakan dengan tema-tema yang berbeza. Semua acara telah diteliti dan telah dirapikan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebuah kereta Proton Persona 1.6 CVT Standard bernilai RM47,850 bakal menjadi hadiah cabutan bertuah kepada orang ramai yang hadir pada sambutan Ambang Tahun Baru 2024 dan pelancaran TMM2024 di Dataran Pengkalan Rama malam esok.

Menurutnya, orang ramai juga berpeluang memenangi pelbagai barangan elektrik yang turut ditawarkan sebagai cabutan bertuah selain kereta Proton Persona. – SM

Artikel berkaitan > TMM2024 mampu perkasa semula pelancongan Melaka

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button