Sukan

Acara badminton dicadang dalam Sukan Melaka 2024

Acara badminton akan diselitkan sebagai salah satu acara baharu yang akan diperkenalkan dalam temasya Sukan Melaka 2024 kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam.

Menurutnya, beliau menerima banyak cadangan daripada individu dan pelbagai pihak yang mengsyorkan acara badminton dipertandingkan selain lima sukan sedia ada
iaitu bola sepak, bola jaring, futsal, sepak takraw dan bola keranjang.

“Saya akan kemukakan cadangan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh agar acara badminton diletakan sebagai salah satu acara bagi menjadikan sebanyak
enam acara dipertandingkan tahun depan.

VP Shanmugam (dua dari kanan) merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti Peringkat Negeri Melaka 2023 di Dewan Serbaguna PPR Krubong, Melaka.

“Saya lihat kewajarannya acara badminton diselitkan memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada semua pihak,” ujarnya kepada pemberita selepas
merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti Peringkat Negeri Melaka 2023 di Dewan Serbaguna PPR Krubong di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Pengalakan dan Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSM), Mohd. Hazriq Abu Zarin; Timbalan Pengarah Lembaga Perumahan
Melaka, Abdul Aziz Md. Dan dan Pengerusi PPR Krubong, Sufian Abdul Majid.

Program tersebut adalah anjuran JBSM bersama Persatuan Penduduk PPR Krubong turut mengadakan pertandingan futsal dan bola jaring.

Shanmugam berkata, temasya Sukan Melaka yang diperkenalkan tahun ini diteruskan pada tahun depan di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat maklum balas yang baik daripada pelbagai pihak dari seluruh negeri.

Menurutnya, ramai golongan belia khususnya meminta kerajaan negeri untuk terus menganjurkan sukan berkenaan serta menambah acara bagi memeriahkan temasya
tersebut.

Lebih menarik katanya, ramai atlet dari luar Melaka seperti Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor ingin menyertai temasya tersebut namun kerajaan negeri terpaksa menolaknya kerana ia dikhususkan kepada penduduk di negeri ini.

“Saya dimaklumkan ada Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) mendapat panggilan daripada pasukan luar namun terpaksa menolaknya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, Sukan Melaka 2024 dijangka akan membuka tirai pada Mei dengan perancangan lebih teratur bagi memastikan acara itu terus mencapai objektifnya iaitu untuk menyatupadukan masyarakat menerusi sukan.

Pada Sukan Melaka yang diadakan dari 14 hingga 22 Oktober lalu, DUN Duyong muncul juara keseluruhan selepas menjulang tiga trofi juara iaitu futsal, sepak takraw
dan bola jaring daripada lima sukan yang dipertandingkan. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button