Nasional

Anak syurga juara Hafazan Karnival Mahabbah Pendidikan Khas Melaka

Meskipun dikurniakan anak tidak seperti kanak-kanak lain yang normal seusia dengannya namun bagi pasangan Zurah Abu, 40, dan suaminya, Nor Akmal Jamil, 40, tetap menghargai kehadiran anak ketiganya itu.

Saufiyyah Naailah, 7, mengalami penyakit tulang rapuh (osteogenesis inperfecte) sejak dalam kandungan menyebabkan dia tidak boleh terlalu lasak dibimbangi tulangnya berisiko patah.

Di sebalik kekurangan ada pada kanak-kanak itu yang terpaksa berkerusi roda untuk bergerak sepanjang hayat namun dia dikurniakan bakat yang unik kerana boleh menghafal beberapa surah al-Quran terutama surah Yasin.

Sangat mengejutkan apabila Saufiyyah Naailah diumumkan sebagai juara PH (fizikal) Hafazan Terbuka Rendah pada Karnival Mahabbah Pendidikan Khas peringkat negeri Melaka di Baitul Tariq, Klebang Permai, Melaka di sini hari ini.

Saufiyyah Naailah menyertai acara Hafazan pada Karnival Mahabbah Pendidikan Khas peringkat negeri Melaka di Baitul Tariq, Klebang Permai, Melaka.

Saufiyyah Naailah anak ketiga daripada tiga beradik itu adalah salah seorang daripada 328 peserta peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah pendidikan khas menyertai sembilan acara yang dipertandingkan sepanjang dua hari karnival itu berlangsung bermula pada Rabu.

Murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Jasin itu mencuri tumpuan dinobatkan selaku juara dan sekali gus melayakkannya mewakili Melaka pada Karnival E-Mahabbah Peringkat Kebangsaan di Perlis secara atas talian dari 16 hingga 19 Ogos ini.

Zurah seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin berkata, kejayaan itu sangat membanggakan walaupun anaknya menghidap penyakit tulang rapuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang hayatnya.

“Walaupun anak saya tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya namun ini satu anugerah yang Allah berikan kepada saya seorang anak yang boleh menghafal banyak surah terutama surah Yasin dengan lancar.

“Saya dan suami Nor Akmal Jamil tidak pernah merasa menyesal dianugerahkan anak syurga malah kami menjaganya dengan penuh kasih sayang tanpa mengasingkan dengan dua lagi anak saya yang lain.

“Malah saya pernah mengambil cuti tanpa gaji selama lima tahun semata-mata mahu menjaga anak saya kerana dia tidak boleh dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak kerana berisiko patah tulang berulang,” ujarnya di sini hari ini.

Dia ditemui selepas anaknya menerima sijil dan trofi pada majlis penutup Karnival Mahabbah yang telah disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang turut dihadiri Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan negeri, Mohd. Nazri Abdul Latip.

Zurah berkata, anaknya memasuki tahun satu tidak seperti murid-murid lain kerana Saufiyyah Naailah hanya bersekolah untuk tempoh dua jam sahaja setiap hari.

Katanya, tulang anaknya sangat rapuh dan tidak boleh bersekolah lebih daripada dua jam kerana dia mudah keletihan.

“Justeru, di sekolah, dia turut disediakan katil di dalam bilik darjah kerana tidak boleh duduk terlalu lama di kerusi roda kerana bimbang kecederaan patah tulang akan berulang,” ujarnya.

Jelasnya, penyakit yang dialami anak ketiganya sejak dalam kandungan lagi dan sehingga kini dia sudah mengalami 40 kali patah tulang sama ada di tangan, kaki serta beberap bahagian anggota badan.

Menurutnya, dia pada mulanya enggan menghantar anaknya ke sekolah kerana bimbang kecederaan berulang namun anaknya sendiri mahu bersekolah seperti abang dan kakaknya.

Katanya, suaminya yang bekerja sebagai juruteknik di sektor minyak dan gas yang banyak menguruskan hal persekolahan apabila bercuti dua minggu. – SM

(Visited 549 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button