
“Anak Saya Baru 14 Tahun, Tapi Dapat Gambar Lucah” – Ibu Mangsa Tuntut Keadilan CEO Batu
IBU kepada mangsa Ieja Cazendra tampil menuntut pembelaan buat anak perempuannya Qalisya yang baru berusia 14 tahun, selepas mendakwa seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai “CEO Batu” telah menghantar gambar berunsur lucah kepada remaja terbabit.
Ieja Cazendra, ibu kepada mangsa, mendedahkan bahawa anaknya kini mengalami tekanan emosi dan trauma akibat perbuatan tidak bermoral individu berkenaan.
“Sebagai ibu kepada mangsa, saya tidak boleh berdiam diri. Anak saya masih di bawah umur. Tindakan ini sangat melampau. Saya mahu keadilan untuk dia,” tegasnya.
Menurut Ieja, sebelum isu ini tular di media sosial, pempengaruh terbabit pernah menghubunginya untuk memohon maaf dan merayu agar perkara itu tidak disebarkan kepada umum.
“Dia akui kesilapan, minta maaf dan mahu selesaikan secara baik. Tapi saya tidak boleh terima begitu sahaja. Ini bukan kes ringan. Ini gangguan seksual terhadap anak bawah umur.”
Ieja turut menjelaskan bahawa insiden tersebut menjadi titik tolak untuk beliau memantau lebih ketat pergaulan dan komunikasi anak perempuannya selepas ini.
“Anak saya trauma. Selepas ini saya akan pastikan dengan siapa dia berhubung dan berkawan. Saya tak mahu perkara sebegini terjadi lagi – bukan hanya pada anak saya, tetapi anak-anak orang lain juga.”
Tambahnya, beliau kecewa kerana individu terbabit masih sanggup menghantar gambar tidak senonoh walaupun sedar anaknya baru berusia 14 tahun.
“Anak saya panggil dia ‘uncle’, maksudnya hormat. Tapi dia balas dengan gambar macam tu. Saya sangat kecewa.”
Difahamkan, pempengaruh media sosial itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.