Ekonomi

Kepentingan dalam Petronas: Kerajaan Sarawak mahu butiran mengenainya

KUCHING, 13 Dis — Kerajaan Sarawak hanya akan memberitahu mengenai pendiriannya berhubung pelan kerajaan Persekutuan untuk menawarkan kepentingan Petronas kepada negeri pengeluar minyak dan gas itu apabila mereka mempunyai butiran mengenai tawaran tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau perlu tahu mengenai terma dan syarat tawaran itu sebelum dapat mengulas mengenai perkara tersebut.

“(Kami) perlu tahu dahulu apa terma (tawaran tersebut) dan (kami belum menerima) apa-apa (mengenai butirannya). Hanya tawaran seperti itu dan tiada terma, jadi saya belum dapat berkata apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen amal di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengesahkan akan menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Putrajaya pada Isnin.

“Tetapi saya tidak tahu (apa yang perlu dijangka daripada pertemuan itu). Hanya pada pertemuan tersebut baru saya tahu. (Pertemuan itu hanya) pertemuan biasa, anda tahu, (antara) tiga individu, Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak dan Perdana Menteri,” katanya.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menjual kepentingan dalam Petronas kepada negeri di mana terletaknya lapangan minyak dan gas syarikat itu dalam usaha untuk mengumpul dana.

Perdana Menteri berkata langkah sedemikian akan memberi peluang kepada negeri seperti Sarawak dan Sabah untuk terbabit sama dalam pengurusan Petronas – syarikat pengeksport gas asli cecair ketiga terbesar di dunia.

“Ia (Petronas) dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, terpulang kepada kerajaan untuk menjual kepentingan secara persendirian kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak,” katanya dalam temu bual oleh Reuters.

— BERNAMA

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button