NasionalUncategorized

SPRM tahan sindiket bolot tender kementerian, agensi berjumlah RM3.8 billion

SINDIKET kartel projek yang telah memonopoli sebanyak 345 tender bernilai RM3.8 billion dilumpuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menahan tujuh individu termasuk ketuanya yang berusia 47 tahun.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan tengah malam semalam di pusat operasi sindiket dan ketika serbuan dilakukan, hampir kesemua ahli sindiket sedang mengisi beberapa borang tender.

“Sindiket kartel projek ini telah memonopoli tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 Billion.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang,” katanya.

Jelas sumber lagi, ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebutharga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Suspek juga dikatakan mewujudkan 150 syarikat miliknya yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan.

“Selain itu, Sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender / sebutharga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya,” ujarnya.

Kata sumber lagi, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender / sebutharga.

Menurutnya, taktik “mengepung harga” iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket.

“Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.

“Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini telah menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat dibawah naungannya.

“Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisyen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

“Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.

“Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender atau sebutharga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Ujarnya, kes disiasat dibawah seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau juga tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat. -SM

(Visited 2,035 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button