Nasional

Keluarga daif gembira sambut Aidiladha di rumah baharu

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 7 Julai – Sebuah keluarga yang hidup serba daif ceria menyambut Hari Raya Aidiladha Ahad ini di rumah baharu Batu 18, Jalan Sekolah Ghafar Baba, Masjid Tanah dekat sini menerusi sumbangan percuma menerusi program Rumah Prihatin.

Dahulu mereka tujuh sekeluarga hidup di sebuah rumah yang sangat usang menanti roboh ditapak rumah baharu yang didiami kini kerana pendapatan suaminya, Mohd. Rezal Mohd. Jali, 57, ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Malah hidup mereka kadang kala terpaksa mengikat perut untuk makan kerana kehidupan yang sangat daif ketika itu.

Riak wajah keluarga Mohd. Rezal tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila hajat untuk mendiami rumah yang cukup selesa berbanding rumah lama yang terlalu uzur untuk mereka diami kini
menjadi kenyataan.

Isteri Mohd. Rezal, Mariani Razali, 40, berkata, dia memanjatkan rasa syukur kerana hajat untuk memiliki rumah baharu yang cukup selesa telah menjadi kenyataan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

“Sebelum ini, kami sekeluarga hidup serba daif di rumah yang sangat usang, atap bocor, dimamah anai-anai dan bilik air yang hampir nak roboh.

“Nak beli rumah baharu pendapatan suami ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’, bukan sahaja tidak mampu nak beli rumah baharu, hendak baiki rumah lama pun tidak mampu.

“Kami hendak makan anak beranak pun terpaksa ikat perut inikan pula nak beli rumah baharu memang tidak pernah diimpikan langsung.

“Syukur, sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini cukup mengujakan buat kami sekeluarga. Kali ini rasa tidak segan nak pelawa saudara mara datang ke rumah baharu ini,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima replika kunci Rumah Prihatin daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman di sini semalam.

Rumah bernilai RM37,000 itu mempunyai tiga bilik tidur itu didiami bersama tiga anak berusia antara 9 hingga 15 tahun termasuk ibu bapa mentua suaminya.

Mariani turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah meluluskan permohonan mereka untuk membina rumah baharu atas tanah sendiri.

Menurutnya, suaminya telah memohon bantuan tersebut sejak lima tahun lalu dan tidak menyangka sama sekali mendapat panggilan permohonan telah diluluskan Oktober tahun lalu.

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button