Nasionalpilihan

Jambatan sementara Stulang Daeng siap Sabtu ini

Kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Stulang Daeng di Klebang dan Kampung Pulau Gadong dekat sini kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan sementara atau
dikenali Jambatan Bailey akan dapat digunakan 18 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jambatan Bailey yang dibina tanpa bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan mendapat bantuan daripada JKR Petaling, Selangor; JKR Temerloh, Pahang dan JKR Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Jambatan Bailey sepanjang 42 meter tidak melibatkan peruntukan yang besar sebaliknya hasil kerjasama daripada beberapa JKR negeri lain yang turut membantu.

“Besi jambatan yang digunakan pula adalah daripada simpanan milik kerajaan Melaka sepanjang 30 meter manakala selebihnya dipinjam daripada JKR Selangor.

“Insyallah Sabtu ini jambatan Bailey dijangka siap dan boleh digunakan oleh penduduk di kedua-dua kampung yang terputus hubungan sejak jambatan lama runtuh pada 22 September lalu,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan jambatan sementara di Kampung Stulang Daeng, Klebang di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah JKR negeri, Datuk Ismail Abd. Rahman.

Mengulas lanjut Hameed Mytheen berkata, jambatan tersebut dengan lebar 7.2 meter dengan dua lorong apabila siap nanti hanya berkapasiti menampung bebanan di bawah
lima tan sahaja.

Katanya, jambatan itu tidak boleh digunakan oleh kenderaan berat lebih daripada lima tan melainkan kereta dan motosikal sahaja dibenarkan melaluinya.

Menurutnya, jambatan sementara itu akan digunakan kurang atau lebih dua tahun sementara menunggu pembinaan jambatan kekal yang runtuh dibina semula menerusi
peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM9 juta.

“Buat sementara ini penduduk di dua kampung boleh menggunakan jambatan Bailey sementara kerajaan negeri menunggu kelulusan peruntukan bagi membina jambatan
baharu sepanjang 60 meter,” ujarnya.

Katanya, jambatan sementara itu mula dibina pada 10 November lalu selepas kajian tanah dilakukan termasuk membina laluan lencong baharu yang akan diturap nanti. – SM

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button