Politik

Armada desak siasat dalang rusuhan di Batu Pahat

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mendesak pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik rusuhan yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat, malam semalam.

Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, tindakan tegas perlu diambil berhubung insiden berkenaan kerana ia berlaku dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, pihaknya percaya rusuhan berkenaan didalangi individu tertentu bagi menimbulkan spekulasi dan persepsi buruk kepada kerajaan.

MUHAMMAD SHAMSUDDIN PAIJAN

“Kami yakin dan percaya tanpa ‘dalang’ yang mengarahkan provokasi ini menggunakan anak muda sebagai alat provokasi bagi kepentingan politik, ia tidak akan berlaku.

“Armada Bersatu Johor kesal kerana rata-rata anak muda yang baru habis belajar dijadikan alat provokasi sehingga memberi implikasi kepada masa depan mereka.

“Usahlah perjudikan masa depan anak muda ini demi kepentingan politik peribadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kira-kira 40 individu membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta di laluan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

Muhammad Shamsuddin berkata, insiden itu tidak boleh dipandang remeh kerana boleh menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

“Kami yakin kerajaan sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin dan keputusan dibuat kerajaan bukan bersifat zalim sebaliknya dibuat dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan.

“Masyarakat diajak untuk mengambil pengajaran daripada situasi yang berlaku di India yang menunjukkan peningkatan penularan Covid-19 secara drastik sehingga sukar dikawal,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dalam satu kenyataan memberitahu, polis telah menahan 20 individu berusia antara 16 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button