Mahkamah

Anak didakwa bunuh ibu, mengaku ambil dadah jenis methamphetamine

SEORANG anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian ibunya dalam kejadian awal bulan ini.

Sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, anak sulong daripada lima beradik itu bagaimanapun mengangguk faham di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita iaitu Rozizah Md Dom, 64, iaitu ibu kandungnya di sebuah rumah di Kampung Paya Luboh, antara jam 2.30 hingga 3.00 petang pada 5 Julai lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Pada prosiding sama, tertuduh turut didakwa memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Bagaimanapun bagi kesalahan tersebut, tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan pengawasan polis maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, bagaimanapun beliau tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Mazana kemudiannya menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen bagi kedua-dua kes tersebut.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, tertuduh tergamak menikam ibu kandung sehingga mati dengan dua kesan tikaman di bahagian leher di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka dekat sini.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, ketika ditahan suspek berusia 38 tahun mengaku menikam leher kiri dan kanan ibunya menggunakan sebilah pisau berukuran 26 sentimeter (cm).

Beliau berkata, suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button