
Amyra Rosli Alami Pendarahan, Tapi Bukan Komplikasi Hamil
Pelakon terkenal Amyra Rosli tampil menjelaskan keadaan kesihatannya selepas mengalami pendarahan mengejut baru-baru ini, namun menegaskan ia bukan disebabkan kehamilan atau komplikasi berkaitan kandungan.
Menurut Amyra, atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 33, kejadian berlaku beberapa hari selepas suaminya, Amar Bahrin berangkat ke Mekah untuk misi berbasikal ke Tanah Suci.
“Waktu itu saya tidak mengandung, tetapi keadaan pada awalnya seperti menjurus ke arah itu. Bila saya ke klinik, doktor beritahu pendarahan tersebut kemungkinan berpunca daripada ketidakseimbangan hormon dan bukan sesuatu yang serius,” katanya.
Amyra turut menyatakan bahawa pendarahan berlaku selama kira-kira lima hari, namun ia berhenti dengan sendiri selepas pengambilan ubat dan rehat yang mencukupi. Beliau juga tidak meneruskan rawatan lanjut memandangkan keadaannya kembali pulih.
“Apa yang buat saya risau, pendarahan itu berlaku sebelum tempoh haid sebenar. Saya ingat permulaan haid, tapi ia berbeza dari biasa. Mujur doktor sahkan bukan isu serius,” tambah pelakon drama Nur itu.
Amyra juga mengakui tidak berkongsi secara terperinci dengan Amar mengenai kejadian tersebut, kerana tidak mahu mengganggu emosi suaminya yang sedang berada jauh dari keluarga.
“Saya cuma maklumkan secara ringkas supaya dia tak terlalu risau. Dia sedang dalam perjalanan misi ibadah, saya tak nak bebankan fikirannya,” ujarnya.
Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan kini memiliki dua cahaya mata, Aqeef Anaqi (8 tahun) dan Ayra Aryssa (4 tahun).
Sumber : Refleks!