Nasional

Banjir kilat: 57 penduduk ke PPS di SK Durian Tunggal

Seramai 57 mangsa banjir membabitkan 15 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaaan (SK) Durian Tunggal, Alor Gajah Melaka di sini, selepas rumah mereka dilanda banjir kilat, semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA), Kamarulsyah Muslim berkata, empat kampung yang terlibat ialah Kampung Gadek, Kampung Punggur, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

Menurutnya, hujan lebat sejak pukul 6.30 petang semalam menyebabkan kediaman penduduk di empat kampung terbabit dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dan Durian Tunggal terjejas.

“Hanya satu PPS dibuka di SK Durian Tunggal kira-kira pukul 11.00 malam tadi bagi menempatkan mangsa terdiri daripada tiga warga emas, 36 dewasa, 12 kanak-kanak dan dua bayi,” katanya di sini hari ini.

Kamarulsyah berkata, beberapa kawasan turut dilanda banjir kilat di Jasin iaitu di Batang Melaka dan Gapis manakala di Melaka Tengah pula Kampung Pengkalan Rama Pantai dan Kampung Sungai Putat.

Beliau berkata, kawasan terbabit tidak melibatkan pembukaan PPS kerana tidak terjejas teruk berbanding empat buah kampung di Gadek dan Durian Tunggal.

Katanya, APM akan terus membuat pemantauan berterusan ke atas kawasan terlibat jika berlaku lagi hujan lebat dalam masa terdekat ini. – SM

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button