Nasional

Amirudin nafi minta Ebit Lew jangan berlagak baik

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan pernah mengeluarkan kenyataan meminta pendakwah bebas Ebit Lew agar jangan berlagak baik.

Amirudin berkata, tangkap layar laporan berita sebuah portal bertajuk ‘Air Selangor: Situasi terkawal, Ebit Lew jangan berlagak baik – MB’ yang ditularkan di media sosial hari ini adalah palsu.

“Kenyataan berikut adalah palsu. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Penafian juga telah dibuat oleh wartawan Malaysiakini,” kata Amirudin melalui Facebooknya.

Wartawan yang namanya tertera pada tangkap layar itu, Aidila Razak juga telah menafikan beliau menulis laporan berita tersebut.

“Saya tak pernah tulis artikel bertajuk ni. Saya juga tak pernah tulis artikel berkait Ebit Lew. Harap maklum.

“Untuk kalian yang serang Malaysiakini pula – Malaysiakini pun tak siarkan berita tu. Seluruh grafik tu palsu. MB tak sebut, Malaysiakini tak siar dan saya tak tulis. Harap maklum.

“PS: Saya takde duit nak saman menyaman. Tapi saya dah lapor MCMC. TQ,” kata Aidila.

Portal berita Malaysiakini turut menafikan bahawa pihak mereka telah menerbitkan laporan tersebut.

Tangkap layar dengan muka Menteri Besar Selangor itu telah dikongsi oleh seorang individu dengan akaun bernama Syafik Akram di laman Facebook Ebit Lew Supporters.

Pendakwah bebas, Ebit Lew menjadi perhatian masyarakat hari ini apabila memberi dua lori air untuk diagihkan kepada penduduk di pinggiran Batu Caves malam tadi.

Menurut Ebit, dia dan kumpulannya mengagihkan air kepada penduduk di kawasan berkenaan dari pulul 10 malam tadi hingga subuh ini.

Paling sayu menurut beliau, bukan sahaja kanak-kanak datang untuk mengambil air yang dihantar tetapi orang tua juga keluar untuk menadah air.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana.

“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ramai yang muda bantu yang tua. Pengerusi flat dan ahli jawatankuasa (ajak) semua kuat membantu bersama ajk surau. Ya Allah,” kata Ebit.

Tindakan Ebit yang sentiasa membantu masyarakat begitu meninggalkan kesan ke atas hati rakyat.

Malah ada yang mahu Ebit menjadi wakil rakyat di kawasan mereka, untuk menggantikan ahli politik yang sibuk berpolitik ketika rakyat berhadapan dengan ancaman virus maut Covid-19 dan isu bekalan air yang kerap kali terputus.-SM

(Visited 664 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button