Politik

Amira Aisya Ancam Putus Kawan Syed Saddiq, Kini Diangkat Calon Muda Di Puteri Wangsa!

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan setiausaha agung parti itu, Amira Aisya Abd Aziz, 27, sebagai calon Puteri Wangsa dalam PRN Johor.

Berucap dalam satu majlis di hadapan kira-kira 100 penyokong di Puteri Wangsa, Syed Saddiq menggambarkan Amira Aisya sebagai tulang belakang Muda.

Syed Saddiq turut mengimbas semula bagaimana Amira Aisya mengancam untuk memutuskan hubungan persahabatan dengannya sekiranya bekas menteri itu mengkhianati mandat rakyat ketika berlakunya Langkah Sheraton tidak lama dahulu.

“Saya takkan lupa mesej Amira, kalau kamu khianati rakyat, putus kawan.

“Dan saya tak akan lupa katanya dalam mesej sama, dia janjikan, walaupun saya dibuang parti, hilang jawatan, tetapi kalau saya asaskan satu parti berbilang bangsa dan agama, angkat suara anak muda, dia akan jadi orang pertama menyertai parti.

“Hari ini, perbualan itu tinggal sejarah, dan ia menjadi permulaan buat Muda,” katanya.

Dalam ucapannya, Amira Aisya mengimbau latar belakang hidupnya yang datang daripada keluarga pendidik dan pernah tidak menyukai politik suatu ketika dahulu.

Semasa bekerja di Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu), dia sempat membantu merangka dasar pendidikan berkaitan Orang Asli, Stem (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dan juga penambahan substantif kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.

Beri tumpuan isu pendidikan

Bagaimanapun, kata Amira, selepas Langkah Sheraton, dia sedar bahawa dasar yang baik tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kepemimpinan politik yang baik.

“Sewaktu membesar di Kampung Melayu Majidee (di Johor Bahru) di rumah nenek, (saya) lihat apabila pemimpin itu korup, salah guna kuasa, tamak harta dan kedudukan, ia mengakibatkan sistem ekonomi tidak bagus.

“Sewaktu membesar, ramai kawan saya keciciran pendidikan, ada yang mengandung di sekolah lagi, ada yang terjerumus ke dalam kancah dadah. Semua ini kembali kepada sistem sosioekonomi dan dasar yang dilaksanakan di Malaysia.

“Waktu itu saya sedar, kalau ada pendidikan yang bagus, kita akan mampu untuk memutuskan kitaran kemiskinan,” katanya.

Tambahnya, dia turut terinspirasi dengan ibunya sendiri, yang merupakan seorang ibu tunggal dan seorang guru, yang melayan anak-anak muridnya seperti anak sendiri.

Dia berikrar untuk memberi tumpuan pada isu pendidikan di Puteri Wangsa dan membantu peniaga kecil yang bergelut semasa pandemik Covid-19 serta petugas barisan hadapan.

Mohon maaf pada ibu

Graduan undang-undang yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27 hari ini, tidak dapat menahan air mata ketika memohon maaf daripada ibunya, yang pernah bertugas sebagai pengetua di sebuah sekolah tempatan.

“Saya pernah berjanji pada ibu yang saya tak akan masuk politik, kerana ia dunia yang kotor. Saya minta maaf, saya terpaksa mungkir janji, tetapi saya mahu mendapatkan restu ibu, kerana tak ada yang lebih bermakna berbanding restu ibu, restu atuk,” katanya.

Dia mengaku bahawa dia tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam politik, tetapi telah bergelumang dengan kerja khidmat masyarakat sejak usia muda.

“Saya percaya boleh berkhidmat tanpa politik, tetapi politik juga memberikan ruang untuk berkhidmat. Sebab itu saya percaya pada politik khidmat kepada rakyat. Itu yang saya bawa di DUN Puteri Wangsa,” katanya.

Kerusi Puteri Wangsa pada awalnya diperuntukkan buat Amanah tetapi parti itu bersetuju menyerahkannya kepada Muda untuk bertanding,

Turut hadir dalam majlis itu ialah pimpinan PH termasuklah penyandang DUN Stulang dari DAP, Andrew Chen Kah Eng.

Pada PRU lalu, Bersatu menang kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 24,949 undi, semasa masih merupakan sebahagian daripada PH.

Rakyat Johor akan mengundi pada 12 Mac ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb.

(Visited 1,039 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button