Ekonomi

Tourism Malaysia lancar pakej pelancongan Sarawak Delta Geopark, Gawai

Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024 bagi mempromosikan keunikan produk pelancongan geopark serta sambutan Hari Gawai di Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 37 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 13 operator pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang antara lain menawarkan lawatan ke geotapak, tapak biologi dan tapak budaya di sekitar geopark merangkumi daerah Kuching, Bau dan Padawan.

Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah Pakej Geological, Heritage & Exploration @ Sarawak Delta Geopark, Pakej The Hidden Prehistory & Geological Sites @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Cloud Glamping @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Nature & Cultural @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Gawai Open House at Matop
Longhouse, Pakej Babulang Festival in Limbang serta Pakej Irau Aco Lun Bawang Festival.

Kesemua pakej pelancongan tersebut telah dimuatkan di dalam sebuah risalah yang kini boleh dimuat turun di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata, Mohd Roslan Abdullah, pembangunan pakej tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan seiring dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta penglibatan masyarakat setempat bagi menjana sumber pendapatan,” katanya.

Pakej Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024 dibangunkan susulan daripada penganjuran bengkel dan lawatan produk pelancongan selama 4 hari 3 malam yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) pada 16-19 Oktober 2023.

Penganjuran bengkel tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak serta Tourism Malaysia Sarawak.

Antara potensi pelancongan yang diteroka termasuklah tapak-tapak geopark menarik seperti Tasik Biru, Fairy Cave, Paku Rockmaze Garden, Rumah Panjang Annah Rais, Homestay Bung Jagoi dan Kampung Sapit (juga dikenali sebagai “Village Above The Cloud”). – SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button