HiburanMahkamah

Mahkamah perintah Amelia bayar RM200,000 kepada A.Aida

Langgar kontrak drama bersiri Sekali Lagi Cinta Kembali

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pelakon Amelia Henderson membayar pampasan lebih RM200,000 kepada A. Aida Production Sdn Bhd kerana melanggar kontrak drama bersiri tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan turut memerintahkan aktres itu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk A. Aida, yang nama sebenarnya, Zaidah Awang, dalam tempoh tujuh hari akan datang dan menurunkan video yang mengandungi unsur fitnah terhadap syarikat produksi yang disiarkan di laman Instagramnya tahun lepas.

Zulqarnain dalam menyampaikan penghakimannya pagi ini berkata, mahkamah mendapati aktres berusia 28 tahun itu selaku defendan dalam saman itu, terikat dengan kontrak yang ditandatangani dan menolak syaratnya bukan lagi pilihan selepas dokumen itu ditandatangani.

“Tiada alternatif untuk defendan selepas menandatangani (kontrak) selain menghormatinya.

“Dalam erti kata lain, defendan hanya mempunyai satu pilihan iaitu memenuhi kontrak yang ditandatangani. Kontrak itu bukan semata-mata untuk rekod pengurus kerana ia adalah kontrak ‘hidup’ dan mengikat defendan,” katanya.

Hakim juga memerintahkan Amelia atau  nama penuhnya, Amelia Thripuri Henderson memulangkan bayaran pertamanya sebanyak RM3,920 kepada syarikat produksi berkenaan dengan tambahan faedah lima peratus.

Amelia diperintahkan membayar RM90,000 sebagai pampasan am dan membayar balik jumlah kos pengeluaran RM101,325 dengan faedah lima peratus kepada syarikat itu juga.

Zulqarnain kemudian memerintahkan injunksi terhadap Amelia yang menghalangnya daripada mengulangi atau menyebarkan fitnah terhadap syarikat produksi itu dan kos RM18,000.

Fakta kes menunjukkan kedua-dua Amelia dan pelakon Muhammad Idris Abd Ghafar yang nama pentasnya Idris Khan telah bersetuju dengan pihak produksi untuk berlakon sebagai watak utama dalam drama bersiri Sekali Lagi Cinta Kembali yang merupakan adaptasi daripada novel yang ditulis oleh Anna Milia.

Syarikat itu telah menyerahkan sinopsis siri kepada Amelia dan Idris pada 17 Januari tahun lepas yang membawa kepada kedua-dua mereka menandatangani kontrak lapan hari kemudian.

Aida memfailkan saman terhadap kedua-duanya pada 28 Julai, mendakwa mereka melanggar kontrak apabila menarik diri pada saat-saat akhir sebelum penggambaran dimulakan.

Mahkamah melihat tiga saksi plaintif termasuk Aida serta tiga saksi pembelaan termasuk Amelia memberi keterangan sepanjang prosiding saman bermula 1 November tahun lalu.

Bagaimanapun, Idris bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah dengan Aida pada hari pertama perbicaraan.

Semasa prosiding, pengurus syarikat produksi Fazeyla Ahmad memberi keterangan bahawa syarikat itu terpaksa menanggung kerugian selepas Amelia melanggar kontraknya. -SM

BACA Pelantikan A Aida sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas satu tindakan bijak untuk industri!

BACA Tangan Que Haidar sejuk, berpeluh kerana Beto Kusyairy

(Visited 442 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button