Nasional

Ambil tindakan aktiviti pertanian haram, elak risiko tanah runtuh, gesa menteri

TANAH runtuh atau banjir lumpur yang boleh menyebabkan penutupan jalan, berisiko berlaku jika aktiviti pertanian haram khususnya di kawasan tanah tinggi tidak dipantau dan dikenakan tindakan sewajarnya pihak berkuasa.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya melalui kerjasama antara agensi kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berwajib sentiasa mencari jalan dalam mengurangkan risiko bencana akibat aktiviti pertanian haram tersebut.

“Contohnya, aktiviti pertanian haram di Lebuhraya Timur Barat apabila terdapat ladang pertanian yang memasuki rizab jalan sekali gus menyebabkan berlakunya takungan air hingga boleh menyebabkan runtuhan tanah atau terputus jalan.

“Jadi, aktiviti pertanian haram di kawasan pembangunan tanah tinggi perlu diuruskan sebaiknya. Kena ada koordinasi, perancangan dan tindakan bersepadu apabila wujudnya pengambilan atau penggunaan tanah tanpa kebenaran.

“Ini akan menjejaskan infrastruktur yang telah disediakan (jalan raya). Ia antara lain akan mendedahkan tanah yang diambil dengan tidak mengikut standard ditetapkan itu kepada pelbagai risiko. Kita takut berlakunya banjir lumpur dan jalan terputus. Ini paling kritikal,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau Jalan Simpang Pulai-Blue Valley berdekatan Cameron Highlands sempena Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0.

Mengulas mengenai hasil tinjauan di Seksyen 44 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley itu, Fadillah berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat tiga runtuhan besar termasuk dua runtuhan cerun di kawasan itu dan berdekatan, yang dipercayai berlaku kerana pergerakan tanah.

Beliau berkata, kerja pembaikan di kawasan tersebut telah dimulakan pada 1 Julai lalu dengan kos dianggarkan RM122 juta melibatkan pembaikan tanah, pemasangan cerucuk, pemasangan tembok bertetulang dan rasuk serta kerja berkaitan, semuanya dijangka siap pada Jun 2025.

Bagi kawasan Seksyen 27 pula, Fadillah berkata, kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada Januari dan dijangka siap pada November ini dengan kos RM8.6 juta melibatkan pelbagai kaedah pembaikan seperti kerja tanah dan penanaman rumput.

“Cabarannya (kerja pembaikan cerun) adalah untuk kenal pasti aliran bawah tanah. Kalau tidak diuruskan dengan baik, sistem sedia ada akan lemah sehingga menyebabkan jalan terputus. Kita merancang untuk memanggil pakar dari Jepun bagi melihat perkara ini termasuk membuat perancangan agar infrastruktur jalan tidak terjejas,” katanya. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button