Agama

Hari Kekasih Retorik Pendosa Untuk Berseronok Dengan Hubungan Luar Nikah

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa hubungan luar nikah dan Hari Kekasih seakan menjadi satu hal yang tidak dapat dipisahkan.

Di luar negara, Hari Kekasih sinonim dengan hubungan luar nikah. Budaya ini seterusnya terbawa-bawa ke dalam Malaysia.

Saban tahun, ada sahaja tangkapan dibuat terhadap pasangan yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan pada malam Hari Kekasih. Lihat sahaja laporan akhbar esok atau lusa.

Apakah masih tidak cukup angka-angka yang menggusarkan yang telah kami nyatakan di awal perbincangan ini? Statistik ini akan terus meningkat sekitar hujung tahun ini jika semua pihak tidak mempunyai kesedaran yang serius.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh 2000-2015, terdapat 526 kes pembuangan bayi.

Beliau juga menambah bahawa menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270.

Maka, secara keseluruhannya sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015.

Setuju atau tidak, kita tidak dapat menolak bahawa Hari Kekasih pastinya adalah salah satu dorongan bagi anak-anak muda ini melakukan maksiat dan perzinaan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Sambutan Hari Kekasih ini adalah budaya masyarakat bukan Islam yang buruk dan kita sama sekali dilarang untuk menyambutnya. Sabda Nabi SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian daripada mereka.”

(Riwayat Abu Daud, no. 4031)

Dalam masa yang sama, Islam sama sekali tidak melarang untuk menzahirkan kasih sayang namun tidak ada jalan yang terbaik untuk ia dimanifestasikan kecuali melalui perkahwinan. Bagi yang sudah berjumpa pasangan yang sesuai, segeralah dalam urusan pernikahan. Sabda Nabi SAW:

لَمْ  يُرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلُ النِّكَاحِ

Maksudnya: “Tidak pernah dilihat solusi untuk dua orang yang saling mencintai selain berkahwin.”

(Riwayat Ibn Majah, no. 1847)

Kasih sayang dalam Islam tidak mempunyai hari-hari tertentu. Setiap hari adalah hari kasih sayang buat sesama suami isteri, anak kepada ibu bapanya, ibu bapa kepada anaknya, saudara mara, jiran tetangga dan seluruh manusia amnya. Maka, tidak perlu lagi dikhususkan hari-hari tertentu, apatah lagi yang menggalakkan pula ke arah gejala sosial dalam kalangan anak muda.

Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam.

Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia.

Ia juga bercanggah dengan norma dan fitrah asal manusia berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Pew Research Center . Ia membuktikan penduduk dunia secara umum dan majoritinya masih melihat hubungan luar nikah sebagai satu perkara yang tidak dapat diterima.

Kami nukilkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day.

Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Semoga kita dapat menginsafi akan falsafah sebenar kasih sayang dan mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat.

Malaysia memerlukan golongan anak muda yang berkualiti dan berhemah tinggi bagi meneruskan kepemimpinan pada masa akan datang. Usah bazirkan usia muda dengan 1001 gejala sosial yang bakal menggelapkan masa depan anda.

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button