Hiburan

Amar Baharin dan Datuk Qobin selamat sampai di Masjid Nabawi, Madinah

PELAKON dan selebriti Amar Baharin dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrrudin atau Qobin selamat sampai di Masjid Nabawi Madinah, jam 10.45 pagi tadi dalam misi “Journey to Tanah Haram”.

Mereka tiba setelah berkayuh dari pekan akhir di Henakiyah hingga ke Masjid Nabawi, Madinah, pagi tadi sejauh 115 kilometer.

Menurut Qobin, mereka berdua bersyukur kerana berjaya menamatkan pengembaraan itu dengan selamat.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami berdua menjejakkan kaki ke bumi Madinah dengan sebahagian besarnya berkayuh basikal, kenderaan darat dan udara.

Kami berdua bukanlah mahu mencipta apa-apa rekod, kami hanya mahu mencapai impian bersama untuk berkayuh basikal dan mengembara dari tanah air ke bumi Madinah”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Sementara itu, Amar meluahkan perasaan terharu selepas berjaya menamatkan kayuhannya bersama Qobin.

“Ini adalah satu pengembaraan epik bagi diri saya. Kayuhan ini amat mencabar mental dan fizikal sebenarnya termasuklah terpaksa mengharungi cuaca panas dengan suhu mencecah 50 darjah selsius.

Perasaan saya amat terharu, tergamam dan tak sangka boleh sampai ke Madinah dengan mengembara melalui jalan darat dengan menggunakan basikal sebagai kenderaan utama. Kami berdua tak sabar untuk ke Masjid Nabawi untuk ziarah Makam Rasulullah”, katanya.

Misi pengembaraan Journey to Tanah Haram yang bermula dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan tamat misi di Madinah hari ini.

Pengembaraan mereka merentasi empat negara selama 33 hari. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button