Nasional

Vaksin AstraZeneca secara suka rela habis ditempah

Pemberian vaksin AstraZeneca secara suka rela habis ditempah selepas dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah hari tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Twitternya pada pukul 3.19 petang tadi.

“Semua slot AZ ditempah sepenuhnya. Maaf untuk masalah teknikal pada peringkat awal tempahan.

“Anda masih boleh mklik kotak kelabu untuk memasukkan senarai tunggu selama beberapa jam lagi. Kami akan mula memasukkan temujanji ke MySejahtera atau sms anda tidak lama lagi,” kata KJ.

Empat pusat suntikan vaksin itu dibuka kepada orang ramai iaitu Pusat Persidangan Ideal Shah Alam (IDCC), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tiga pusat merekodkan tempahan sepenuhnya tidak sampai tiga jam dibuka iaitu IDCC, UM dan UKM.

Setakat ini, Malaysia sudah menerima 268,800 dos vaksin AstraZeneca pada 23 April lalu, dengan penerima memerlukan dua dos vaksin bagi mendapat perlindungan lengkap daripada COVID-19.

Pada sidang media Rabu lalu,Khairy Jamaluddin memaklumkan vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela susulan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin itu.

Vaksin AstraZeneca dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

JKJAV memutuskan vaksin itu hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa ini selepas membuat pertimbangan mengenai bilangan kes di negeri berkenaan yang masih lagi tinggi.

Tempahan vaksin AstraZeneca dibuat melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my.-SM

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button